KUALA LUMPUR 9 Sept - Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap pengendali pelabuhan selepas mengambil kira prospek dagangan global yang mungkin lebih lemah dalam masa terdekat.
Firma itu berkata, kemelesetan ekonomi di Eropah hampir tidak dapat dielakkan akibat konflik Rusia-Ukraine yang berlarutan dan krisis tenaga yang semakin mencabar.
Katanya, China bagaimanapun tidak memberikan gambaran akan keluar daripada fasa pandemik selepas polisi sifar COVID-19 digunakan di Beijing yang dilihat akan memanjangkan gangguan rantaian bekalan global.
"Keyakinan pengguna di peringkat global untuk berbelanja dijangka melemahpada masa hadapan akibat inflasi dan kenaikan kadar faedah.
"Bagaimanapun kami yakin Bintulu Port Holdings Berhad dapat mengharungi cabaran makro ini hasil daripada operasinya yang stabil dalam pengendalian kargo LNG," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu percaya, prospek sektor logistik tempatan adalah stabil memandangkan ia didorong oleh permintaan domestik selain terdapat permintaan untuk hab pengedaran dan perkembangan pesat e-dagang.
Pakar industri mengunjurkan jumlah barangan kasar (GMV) dalam talian berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 11% dari 2022 hingga 2027.
"Lebih banyak gudang diperlukan bagi penghantaran barangan mengikut jadual, mendekatkan pengilang dengan pelanggan selain sistem automasi yang cekap termasuk kesalinghubungan dengan sistem pelanggan dan bagi mengurangkan kos pengangkutan dan gangguan rantaian bekalan.
"Terdapat juga permintaan yang kukuh untuk gudang penyimpanan sejuk beku didorong percambahan syarikat pemula di dalam talian," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu. - DagangNews.com