Kenanga Research kekal saranan 'outperform' untuk OCK Group | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal saranan 'outperform' untuk OCK Group

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Sept - Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperfom' untuk OCK Group Berhad dengan harga sasaran 95 sen.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berkeyakinan menjana pendapatan besar pada FY23 disokong kontrak pembinaan menara telekomunikasi dan pemasangan kabel gentian bernilai RM250 juta.

 

Difahamkan juga, kumpulan itu terlibat dengan pelan penempatan 5G menerusi peningkatan menara 4G sedia ada bagi menyokong perkhidmatan itu selain pembinaan menara 5G yang baharu.

 

"Kami mengunjurkan 50% hasil kontrak dan keuntungan kedua-dua kontrak itu akan diiktiraf pada FY23 dengan baki 50% pada FY24.

 

"Kami yakin bahawa unjuran itu adalah realistik kerana terdapat komitmen kuat daripada pelanggan untuk mempercepatkan projek berkenaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu difahamkan bahawa OCK  terlibat dalam penggunaan 5G secara tempatan dalam dua cara dengan salah satunya menaik taraf 160 menara 4G sedia ada yang seterusnya akan dipajak kepada Digital Nasional Bhd (DNB).

 

Sehingga kini sejumlah 30 menara telah selesai dinaik taraf.

 

Kumpulan itu juga terlibat dalam bahagian tertentu kerja dalam pembinaan 80 menara 5G baharu DNB.

 

Firma itu menggemari OCK kerana memiliki peluang pertumbuhan yang luar biasa dalam ruang infrastruktur telekomunikasi di Vietnam dan Myanmar terutamanya di kawasan luar bandar.

 

Katanya, kumpulan itu berada berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan pelancaran 5G di Malaysia.

 

"Kira-kira 63% daripada pendapatannya berulang daripada penyelenggaraan menara telekomunikasi (55,000 menara dengan 80% daripadanya berada di Indonesia) dan pajakan menara telekomunikasi.

 

"Kumpulan itu juga merupakan proksi kepada pemindahan ibu kota baharu Indonesia bandar ke Kalimantan dari segi infrastruktur telekomunikasi dan peluang perniagaan yang berpotensi di Filipina," katanya. - DagangNews.com