KUALA LUMPUR 5 Feb - Kenanga Research memulakan liputan terhadap Karex Bhd dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran (TP) RM1 sesaham.
Katanya, saranan itu adalah berdasarkan kepada pertumbuhan kukuh industri kondom selain fokus mereka kepada produk dengan margin tinggi yang menawarkan keuntungan lebih besar.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sedang menembusi pasaran pertumbuhan tinggi dengan tawaran premium yang disokong oleh inovasi dan pematuhan ketat terhadap piawaian antarabangsa.
Kenanga Research mengunjurkan pendapatan Karex meningkat dua kali ganda pada FY24, diikuti oleh lonjakan 88% lagi pada FY25.
Mereka menjangkakan kumpulan itu mencapai pertumbuhan hasil tahunan yang ketara sebanyak 24% pada FY24 dan FY25, dirangsang oleh peningkatan aktiviti dalam segmen komersial, pembuatan jenama asal dan tendernya.
"Margin keuntungan kumpulan berkemungkinan meningkat disebabkan oleh gabungan produk dan segmen yang berfaedah, bersama-sama dengan kos yang stabil untuk bahan mentah dan pengangkutan.
“Ia dijangka membawa kepada peningkatan keuntungan bersih yang ketara, dengan unjuran kenaikan 113% kepada RM22 juta pada FY24, dan pertumbuhan 88% lagi kepada RM42 juta pada FY25," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Kenanga Research berakata, lonjakan itu didorong oleh kesedaran pengguna yang meningkat, rangkaian produk yang pelbagai memenuhi pilihan yang berbeza, dan inisiatif global untuk membendung penyakit kelamin (STD) dan jangkitan seksual (STI), katanya.
"Karex merupakan pengeluar kondom terbesar dunia dengan bahagian pasaran 20% dan mengeluarkan sehingga 5.5 bilion keping setiap tahun, dilengkapi dengan baik untuk menampung permintaan industri yang semakin meningkat," katanya. - DagangNews.com