Kenanga Research semak turun jangkaan IPI 2022 kepada 7% berbanding 8.5% | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak turun jangkaan IPI 2022 kepada 7% berbanding 8.5%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - Kenanga Research menyemak turun jangkaan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) bagi 2022 kepada 7% berbanding 8.5% selepas mengambil kira perkembangan perlahan sektor pembuatan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, krisis Rusia-Ukraine membuatkan sektor pembuatan terkesan akibat kenaikan harga komoditi dan keadaan itu dijangka memburukkan lagi rantaian permintaan dan bekalan global.

 

"Sektor pembuatan dilihat masih lagi terkesan dengan peningkatan kes domestik COVID-19 walaupun menerima rangsangan permintaan selepas kerajaan mengambil keputusan untuk membuka semula sempadan antarabangsa pada April ini selepas Malaysia sedang memulakan peralihan ke fasa endemik.

 

"Kami menyemak semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2022 kepada 5% ke 5.5% daripada 5.5% ke 6% dan ia dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa COVID-19 dan impak banjir serta krisis Rusia-Ukraine," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan indeks bagi sektor pembuatan adalah 6.8% dan ia selaras dengan pertumbuhan eksport yang sederhana iaitu 23.5% berbanding 29.2% pada Disember lalu.

 

Keadaan itu disebabkan perkembangan yang perlahanan produk elektrik dan elektronik iaitu 14.4% berbanding 18.2% pada Disember dan ia merupakan paras terendah dalam tempoh tiga bulan selain produk petroleum, kimia, getah dan plastik iaitu 0.1%, terendah dalam tempoh 20 bulan.

 

"Perbandingan bulan ke bulan mencatatkan penurunan sebanyak 1.7% iaitu terendah dalam tempoh enam bulan kerana terkesan dengan kapasiti yang lebih rendah dalam subsektor elektrik dan elektronik, makanan, minuman serta tembakau," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, indeks perlombongan juga mencatatkan penurunan sebanyak 5.1% berbanding 2.6% pada Disember dan ia merupakan yang terendah dalam tempoh empat bulan.

 

Katanya, penurunan itu berpunca daripada penurunan pengeluaran minyak mentah iaitu sebanyak 13.9% yang mencapai paras terendah dalam tempoh 14 bulan ekstrak minyak mentah dan gas asli juga menurun sebanyak 5.1% walaupun harga minyak global meningkat kepada AS$86.5 (RM363.17) setong pada Januari lalu. - DagangNews.com