Kenanga Research turunkan unjuran keuntungan Scientex bagi FY23 kepada RM4.5 bilion akibat gangguan rantaian bekalan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research turunkan unjuran keuntungan Scientex bagi FY23 kepada RM4.5 bilion akibat gangguan rantaian bekalan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mac - Kenanga Research menurunkan unjuran pendapatan dan keuntungan teras Scientex Berhad untuk FY23E kepada RM4.5 bilion dan RM553.5 juta akibat gangguan rantaian bekalan global.

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu turut menurunkan unjuran pendapatan dan keuntungan bagi FY22E sebanyak 3% dan 6% selepas mengambil kira permintaan yang kurang selain tekanan terhadap margin keuntungan akibat kenaikan kos bahan mentah serta logistik untuk perniagaan pembuatan kumpulan.

 

Katanya, dalam segmen pembungkusan, harga resin mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 18% didorong oleh peningkatan harga minyak mentah di pasaran akibat krisis Rusia-Ukraine selain gangguan rantaian bekalan.

 

"Kami memahami bahawa kumpulan itu sudah mengambil kira penyesuaian semula harga purata jualan (ASP) untuk produk mereka terutama dalam segmen industri bagi menampung kenaikan harga bahan mentah serta kos penghantaran.

 

"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati dengan segemn pembungkusan pengguna di atas sebab-sebab yang disebutkan dan menjangkakan berlakunya tekanan terhadap margin keuntungan pada suku akan datang," katanya dalam samtu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Untung bersih 2Q22 Scientex menurun 16.5% kepada RM93.7 juta akibat kenaikan kos bahan mentah, penghantaran

 

Firma penyelidikan itu berkata, baru-baru ini, kumpulan itu mengumumkan kilang pembuatan filem pembungkusan robotik mereka akan mula beroperasi pada 2HCY22 dan ia dijangka membantu meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

 

Pada masa sama, Scientex turut membawa masuk mesin-mesin baharu untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kecekapan.

 

Bagi segmen hartanah, firma itu berkata, kumpulan itu menyasarkan pelancaran projek baharu dengan bernilai RM1.7 bilion dari segi nilai pembangunan kasar (GDV) selain jualan yang belum direkodkan sebanyak RM1 bilion.

 

Firma itu percaya, segmen itu akan terus mencatatkan perkembangan positif pada 2HFY22 selepas pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sempadan antarabangsa negara.

 

"Bagaimanapun segmen itu dijangka terkesan dengan kenaikan kos bahan mentah, kekurangan bahan binaan dan perubahan proses aplikasi kawal selia," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM4.15 lebih rendah berbanding RM4.42 berdasarkan unjuran pendapatan bagi FY22. - DagangNews.com