Untung bersih 2Q22 Scientex menurun 16.5% kepada RM93.7 juta akibat kenaikan kos bahan mentah, penghantaran | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 2Q22 Scientex menurun 16.5% kepada RM93.7 juta akibat kenaikan kos bahan mentah, penghantaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mac - Keuntungan bersih Scientex Berhad untuk 2Q22 menurun sebanyak 16.5% kepada RM93.7 juta berbanding RM112.2 juta pada tahun lalu.

 

Penurunan itu berpunca daripada kenaikan kos bahan mentah dan kos penghantaran yang dihadapi bahagian pembungkusan selain penangguhan pengeluaran CCC untuk sesetengah projek pembangunan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin berkata, segmen hartanah berdepan dengan kenaikan harga serta kekurangan bahan mentah di pasaran selain perubahan proses aplikasi kawal selia tertentu, yang telah menjejaskan kecekapan operasi buat sementara waktu.

 

"Bagaimanapun, permintaan untuk perumahan mampu milik kekal stabil dan kami akan terus berkembang ke lokasi baharu dengan pelancaran hartanah bertanah di Negeri Sembilan dan Kedah, bersama-sama dengan bangunan tinggi pertama kami di Lembah Klang pada separuh kedua tahun kewangan 2022," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan itu meningkat sebanyak 10% kepada RM1.9 bilion pada 1H22 daripada RM1.7 bilion pada 1H21 dengan bahagian pembungkusan menyumbang RM1.4 bilion atau 72.9% daripada jumlah keseluruhan iaitu peningkatan sebanyak 14% daripada 1.2 bilion pada 1H21 didorong oleh permintaan tinggi daripada pasaran domestik serta eksport.

 

Bahagian pembangunan hartanah menyumbang RM509.3 juta atau 27.1% kepada pendapatan 1H22 kumpulan meningkat sedikit berbanding RM506.2 juta pada 1H21.

 

Sementara itu, Peng Jin berkata, pembukaan semula perniagaan dan kemajuan akttiviti ekonomi di Malaysia dan pasaran antarabangsa dilihat bakal memberi kesan positif kepada kumpulan itu.

 

"Kami telah melihat permintaan yang stabil untuk produk pembungkusan dan akan terus mengembangkan kapasiti bagi mengukuhkan lagi kedudukan di dalam pasaran dalam usaha memenuhi permintaan yang semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan jenama pengguna,” katanya.

 

Beliau berkata, kumpulan itu juga akan meningkatkan rancangan kesinambungan perniagaannya bagi mengurangkan risiko gangguan operasi, dan menjamin kepercayaan pelanggan global yang bergantung pada komitmen rantaian bekalan.

 

"Buat masa sekarang, kami berharap dapat memenuhi keperluan untuk rumah mampu milik selepas melihat keadaan ekonomi semakin pulih dengan kadar pemberian vaksin yang tinggi," katanya. - DagangNews.com