Kenanga Research unjur TIV lebih baik pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur TIV lebih baik pada 2022

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Sektor automotif dijangka pulih pada tahun hadapan dengan Kenanga Investment Bank Research mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) lebih tinggi pada 600,000 unit.

 

Penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, sasaran itu hampir menyamai unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sekitar 605,000 unit. 

 

Katanya, prospek lebih baik itu dibuat berdasarkan jangkaan pemulihan ekonomi selepas berakhirnya sekatan pergerakan dan kadar imunisasi kelompok berjaya dicapai.

 

"Apabila prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan, ia secara tidak langsung akan menghidupkan semula aktiviti pelancongan domestik.

 

"Ini akan menyaksikan permintaan kenderaan penumpang kembali meningkat terutama kenderaan nasional mampu milik," katanya dalam nota kajian. 

 

Firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' ke atas sektor automotif dengan sasaran TIV tahun ini lebih rendah sekitar 460,000 unit berbanding 545,000 unit sebelum itu.

 

MAA baru-baru ini turut menyemak semula unjuran TIV 2021 kepada 500,000 unit berbanding 570,000 unit setelah mengambil kira faktor semasa pandemik COVID-19. 

 

Data MAA menunjukkan TIV bagi kenderaan baharu yang didaftarkan dalam tempoh enam bulan pertama 2021 adalah lebih tinggi sebanyak 43.6% kepada 249,129 unit berbanding 173,545 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama sebelum ini disebabkan asas yang rendah pada suku pertama 2020 berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

 

Bagaimanapun, jualan kenderaan baharu bagi Jun 2021 turun 96% kepada 1,921 unit berbanding 47,204 unit yang dicatatkan semasa Mei disebabkan sekatan pergerakan di seluruh negara sepanjang Jun lepas. 

 

Menurut Wan Mustaqim, jualan pada Julai dijangka turut merekodkan jualan yang minimum tetapi bergantung kepada stok sedia ada di galeri pameran yang beroperasi ketika fasa kedua Pelan Pemulihan Negara. 

 

"Meskipun sebahagian besar negeri sudah beralih kepada fasa kedua tetapi Selangor dan Kuala (masih fasa pertama) merangkumi lebih daripada 50% TIV masih belum beroperasi disebabkan penularan wabak COVID-19," katanya. - DagangNews.com