KUALA LUMPUR 2 Mac - Bagi memudahkan pengurusan kerja-kerja di ladang sawit, sekumpulan penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diketuai Dr. Mohd. Azwan Mohd. Bakri mengambil inisiatif mencipta kenderaan utiliti roda tiga pelbagai guna.
Menariknya, kenderaan utiliti ini dilengkapi dengan sistem penyembur elektrik kuasa hibrid untuk penyelenggaran ladang sawit dan pengangkutan buah sawit di ladang.
Ia direka dengan casis tunggal adalah ringan dan boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti di ladang seperti penyemburan racun mengunakan pam elekterik.
Malah, kenderaan ini juga boleh digunakan untuk aplikasi di lapangan dengan hanya menukar platform belakang.
Inovasi yang ringkas ini dapat meningkatkan produktiviti pekerja ladang dan pekebun kecil sawit.
Selain itu, inovasi lain yang diketengahkan adalah penggunaan sistem kuasa penjana hibrid iaitu panel solar dan pengecas enjin dengan bateri pelepasan tinggi.
Sistem ini akan membolehkan pembekalan tenaga yang berterusan untuk aplikasi penyembur racun elektrik yang dipasangkan di kenderaan.
Menurut Mohd. Azwan, MPOB dan sebuah syarikat bumiputera tempatan, Fulle Technik Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian bagi pemindahan teknologi jentera ladang ini.
Fulle Technik telah memulakan usaha inovasi untuk menjadikan teknologi MPOB ini kepada produk komersial.
Inovasi teknologi ini dijangka berada di pasaran tempatan dalam tempoh terdekat.
“Kenderaan utiliti yang ringkas ini dengan harga mampu milik dapat digunakan dalam pelbagai jenis aktiviti perladangan dan pertanian.
"Penjana elektrik hibrid pula dapat meningkatkan kerja-kerja di ladang dengan menggunakan peralatan elektrik seperti pam, penyembur, penderia, dan pelbagai lagi serta sekaligus dapat memanfaatkan teknologi industri 4.0," katanya.
Menurut beliau, fungsi kenderaan utiliti roda tiga ini adalah sama dengan kenderaan bermotor lain yang berada di pasaran.
Kuasa tambahan untuk peralatan ladang seperti penyembur elektrik adalah dijana daripada sistem kuasa hibrid, solar dan pengecas enjin.
Sistem kuasa hibrid ini dikawal oleh peralatan elektronik yang ditetapkan oleh pengguna melalui suis yang diletakkan di hadapan kabin.
"Jentera ini dibangunkan melalui kaedah penyelidikan kejuruteraan yang mana spesifikasi tersebut dikaji bagi memastikan ia sesuai untuk pasaran tempatan. Oleh demikian, kos pengeluaran dapat dikurangkan," jelas beliau.
Penyelidikan inovasi ini bermula pada 2016 dan telah diperkenalkan pada 2019.
Kajian awal penyelidikan ini dibiayai oleh MPOB manakala usaha pra-pengkomersialan dibiayai oleh agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Malaysian Technology Development Corporation.
Fulle Technik telah dilantik sebagai pembangun prototaip manakala FGV Sdn. Bhd. adalah salah satu syarikat perladangan terbabit dalam ujian prototaip.
Inovasi ini berbeza dengan jentera utiliti roda tiga yang berada di pasaran yang direka untuk aktiviti perladangan yang lasak seperti mengangkut buah tandan segar hingga satu tan.
Kenderaan utiliti roda tiga ini lebih menekankan kepada aspek aktiviti sokongan di ladang seperti penyemburan racun rumpai.
Pekebun kecil tidak memerlukan jentera utiliti yang mahal dan terlalu berat untuk membantu menjalankan aktiviti perladangan dan pertanian lain berdasarkan saiz kebun yang kecil.
“Inovasi yang dicipta MPOB ini dijangka dapat memberi manfaat kepada pekebun kecil, koperasi penanam sawit mapan dan syarikat perladangan," katanya.
Mohd. Azwan berkata, harga jualan di bawah RM15,000, bergantung kepada jenis aksesori yang dipilih adalah terendah dalam pasaran tempatan jentera utiliti perladangan dan pertanian.
Selain itu, katanya, penambahan seperti kuasa penjana hibrid untuk peralatan ladang mampu mengurangkan penggunaan minyak atau tenaga fosil sekali gus mengurangkan pencemaran alam sekitar dalam aktiviti pertanian. - DagangNews.com