Kepelbagaian pelanggan lindungi Tasco daripada kesan kenaikan kadar pengangkutan | DagangNews Skip to main content

Kepelbagaian pelanggan lindungi Tasco daripada kesan kenaikan kadar pengangkutan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Okt - MIDF Research menyemak turun harga sasaran Tasco Bhd. kepada RM1.75 daripada RM1.80 sesaham sebelum ini setelah mengambil kira normalisasi kadar pengangkutan dan risiko kemelesetan global. 

 

Menurutnya, kadar pengangkutan telah mengalami penurunan tetapi ia masih kekal tinggi dalam masa terdekat sebahagiannya disebabkan harga minyak yang tinggi.

 

Namun, firma itu mendapati Tasco memperoleh lebih banyak jumlah kargo daripada pelanggannya, secara tidak langsung mengimbangi kenaikan kadar tersebut. 

 

"Kumpulan juga mempunyai pelanggan yang pelbagai dengan sebahagiannya boleh melindungi mereka daripada kejutan ekonomi.

 

"Mengambil kira faktor ini, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap Tasco. Tetapi risiko penurunan bergantung kepada tekanan inflasi yang akan menjejaskan kos operasi dan pemulihan yang lebih perlahan dalam perniagaan pengangkutan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku kedua berakhir 30 September 2022, untung bersih Tasco meningkat 53.82% kepada RM24.13 juta daripada RM15.69 juta dengan pendapatan meningkat 56.55% kepada RM493.95 juta berbanding RM315.51 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi penyelesaian perniagaan antarabangsa meningkat kepada RM238.9 juta daripada RM157.5 juta, sebahagian besarnya disumbangkan oleh perniagaan logistik runcit.

 

Sementara itu, hasil bagi penyelesaian perniagaan domestik berjumlah RM255 juta, naik 61.4% lebih tinggi daripada RM158 juta pada suku tersebut, disumbangkan terutamanya oleh pelanggan panel solar, elektrik dan elektronik (E&E) dan pembuatan makanan.

 

Ini menyaksikan untung bersih Tasco bagi tempoh kumulatif enam bulan meningkat 54.4% kepada RM48.56 juta daripada RM31.45 juta dengan pendapatan meningkat kepada RM947.51 juta daripada RM605.57 juta.

 

MIDF Research berkata, ia tidak menyemak semula unjuran keuntungan Tasco memandangkan kumpulan merekodkan anggaran hasil yang memenuhi jangkaannya. 

 

"Tasco merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM45.4 juta dalam tempoh enam bulan, yang mana ini memenuhi jangkaan kami dan konsensus sebanyak 54% daripada anggaran tahun kewangan penuh," katanya.

 

Setakat 10.46 pagi ini, harga sahamnya menokok 2.5 sen atau 2.96% kepada 87 sen dengan 63,800 saham diniagakan. - DagangNews.com