Keputusan AGM petanda jelas pemegang saham tetap yakin kepada Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

Keputusan AGM petanda jelas pemegang saham tetap yakin kepada Serba Dinamik

Oleh JOHARDY IBRAHIM

SHAH ALAM 8 Feb – Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Serba Dinamik Holdings Berhad pada 31 Januari lalu yang awalnya dijangka `panas membara’ berikutan kedudukan syarikat berstatus PN17 sekarang, berlangsung dengan lancar dan teratur.

 

Pemegang saham meluluskan kesemua resolusi yang diusulkan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) Serba Dinamik, termasuklah resolusi khas untuk meminda perlembagaan syarikat. 

 

Kelancaran AGM itu mendorong penganalisis industri merumuskan bahawa para pelabur besar dan kecil syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas global itu, berpendirian bahawa perniagaan Serba Dinamik adalah penting kepada mereka dan berbaloi untuk dipertahankan.

 

Situasi tersebut amat bertentangan dengan ramalan awal yang menjangka AGM akan menjadi kecoh, apatah lagi dengan laporan-laporan negatif dari media tertentu sejak tercetusnya isu audit syarikat pada Jun 2021.

 

Rumusan itu juga dibuat berdasarkan undian yang dikira semasa pengundian usul supaya diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dan bagi mengelakkan gangguan terhadap urusan harian Serba Dinamik.

 

Berdasarkan undian, rumusannya ialah:

  1. Satu bilion saham (daripada 1.4 bilion saham) daripada 3 Pengarah Eksekutif digunakan bagi AGM.
    Boleh dirumuskan bahawa Lembaga Pengarah dan Pengurusan syarikat memiliki 1.6 bilion saham berbanding 1.1 bilion saham dari nomini dan proksi rahsia. Keseluruhannya berjumlah 2.7 bilion saham dipegang oleh mereka yang hadir.


     
  2. Lebih daripada 2/3 pelabur runcit yang hadir (mewakili 220 juta saham daripada 250 juta saham) menyokong Resolusi 6 – Cadangan Memperbaharui Mandat Pemegang Saham Bagi Transaksi Berkaitan Perolehan atau Keadaan Dagangan Saham.

     
  3. Pelabur runcit bercampur-campur sokongan terhadap pengarah berlainan seperti dalam undian Resolusi 1 hingga 3.

 

Ramai tidak menyedari bahawa daripada 500 orang yang menghadiri AGM, hanya 390 yang mengundi. Seramai 110 hingga 210 tidak mengundi dan dianggap sebagai pemerhati.

 

Pelabur institusi iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Permodalan Nasional Berhad (PNB), SBB Dana Al-Ihsan, Lembaga Tabung Haji dan proksi yang berahsia memegang keseluruhan 1.2185 bilion saham atau 30.16% Serba Dinamik.

 

karim abdullah
           Datuk Dr Ts Mohd. Abdul Karim Abdullah

 

Ketika mesyuarat tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Ts Mohd. Abdul Karim Abdullah berkata, kumpulan juga optimis untuk kembali semula kepada landasan dalam tempoh 2 tahun akan datang, dengan beberapa operasi menunjukkan peningkatan positif tahun ke tahun.  

 

"Ini terutamanya bagi segmen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pendidikan," jelas beliau.

 

Namun, Serba Dinamik akan terus menjadikan perniagaan minyak dan gas sebagai teras buat masa ini.

 

Beliau turut berkongsi perkembangan terkini mengenai keputusan kumpulan untuk mengemukakan pelan regularisasi, merangkumi pilihan yang mungkin dapat membantu mencapai penyelesaian yang baik bagi penstrukturan semula hutang dan untuk terus berdaya saing dalam persekitaran perniagaan semasa.

 

Saham syarikat yang berstatus Nota Amalan 17 (PN17) ini bagaimanapun masih lagi digantung dengan dagangan terakhir pada 35 sen sejak 22 Oktober 2021 pada nilai pasaran RM1.3 bilion.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pemegang saham luluskan semua resolusi Serba Dinamik

 

Dalam perkembangan terkini, Serba Dinamik akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, yang mengarahkan Serba Dinamik membuat hebahan awam Kemas Kini Dapatan Berdasarkan Fakta (FFU) oleh Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (E&Y Consulting) dalam tempoh 2 hari pasaran dari tarikh arahan berkenaan.

 

E&Y dilantik bagi melaksanakan kajian semula khas bebas (SIR) terhadap syarikat itu.

 

''Peguam syarikat telah mengemukakan rayuan dan minta penangguhan arahan mahkamah tersebut sehingga proses rayuan selesai dibicarakan,'' menurut jurucakap syarikat. – DagangNews.com