Keputusan bangunkan lapangan terbang Subang ditentukan Kabinet | DagangNews Skip to main content

Keputusan bangunkan lapangan terbang Subang ditentukan Kabinet

 

 

KUALA LUMPUR 7 Mei - Sebarang cadangan untuk membangunkan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah masih di peringkat awal, menurut Kementerian Pengangkutan, seperti dilapor Bernama.

 

Ini susulan laporan mengenai entiti swasta mengusulkan kepada kerajaan untuk mengambil alih dan mengendalikan lapangan terbang itu.

 

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pengangkutan berkata, sebarang pertimbangan dan keputusan akhir berhubung cadangan pembangunan semula lapangan terbang yang dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang itu akan diputuskan oleh Kabinet.

 

Katanya, menjadi kebiasaan bagi pasaran untuk mengemukakan kertas cadangan kepada pihak kerajaan melalui kementerian berkaitan bagi mengembangkan aset baharu atau sedia ada.

 

"Dalam kes Lapangan Terbang Subang, yang telah menjadi kemudahan penting dan pusat bandar utama bagi penduduk Lembah Klang, ia memerlukan perhatian dan pertimbangan yang baik demi masa depan landskap penerbangan Malaysia yang lebih meluas," jelasnya.

 

Menurut laporan sebuah portal berita, syarikat hartanah dan pembinaan WCT Holdings Bhd akan menggunakan anak syarikatnya Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) untuk mengambil alih dan mengendalikan lapangan terbang itu sehingga 2092.

 

Malah, cadangan itu sudah dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dengan anggaran pelaburan awal RM3.7 bilion.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.7 bilion akan digunakan untuk terminal penumpang dan jet eksklusif yang dijangka dibuka pada 2027 manakala RM2 bilion bagi membangunkan bandar lapangan terbang untuk tempoh 10 tahun akan datang. - DagangNews.com