Kerajaan bagi jaminan pantau sistem data | DagangNews Skip to main content

Kerajaan bagi jaminan pantau sistem data

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Kerajaan memberi jaminan akan memantau sistem pengurusan data bagi mengelakkan sebarang ancaman siber pada masa depan. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, data rakyat akan dikendalikan dengan penuh hemat berdasarkan piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh kerajaan melalui agensi pelaksana iaitu Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

 

"Keselamatan siber dan data pastinya merupakan antara tumpuan utama kerajaan dalam merealisasikan visi negara berteknologi digital," katanya ketika melancarkan inisiatif MyDigital secara maya pagi tadi. 

 

Inisiatif MyDigital yang dilaksanakan merangkumi Pelan Strategik Digital Ekonomi Malaysia terdiri daripada 3 fasa dijangka lengkap menjelang 2030.

 

Beliau menegaskan, inisiatif MyDigital melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital mengandungi pelan pendekatan senegara. 

 

"Dalam menghadapi kemunculan ekosistem digital masa depan, semua pihak berkepentingan  perlu mengadaptasi secepat mungkin dalam menghadapi cabaran sebuah negara yang terhubung," katanya. 

 

Perdana Menteri menyifatkan pembinaan infrastruktur digital ini merupakan tulang belakang dalam membentuk sebuah ekosistem digital yang mapan. 

 

Malah, katanya, ekosistem ini pula merupakan enjin utama dalam pertumbuhan ekonomi yang lestari dan kerajaan akan terus membantu pengukuhan ekosistem baru. 

 

"Oleh itu, kita akan memastikan syarikat-syarikat digital yang terbabit dengan kerajaan, berusaha gigih untuk membantu rakyat Malaysia meningkatkan kemahiran digital. 

 

"Syarikat-syarikat ini antaranya juga akan menjalin kerjasama dengan universiti-universiti tempatan bagi mewujudkan Fakulti Kecerdasan Pintar dan sebagainya serta bekerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakan program peningkatan kemahiran pekerja secara amnya," katanya. - DagangNews.com