Oleh NIK NUR SHAFIKA MUSTAFA
KEMELUT politik negara sedang membuak-buak. Teka-teki siapakah bakal Perdana Menteri ke-9 sesuatu yang mendebarkan buat semua. YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah dijangka membuat pengumuman di Istana Negara hari ini.
Dari sisi pandang berbeza, kerisauan utama rakyat adalah dengan krisis pandemik dan ekonomi. Kini rakyat semakin terbeban dengan keadaan ekonomi yang terjejas teruk semenjak pandemik melanda negara.
Di awal tahun 2021, Malaysia menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.0%-7.5% bagi tahun 2021 berikutan permintaan luaran yang lebih kukuh dan peningkatan aktiviti domestik pada awal ini.
Dalam temubual bersama Bloomberg, mantan Menteri Kewangan menyatakan Malaysia akan mengkaji semula sasaran pertumbuhan KDNK negara yang dijangka hanya sebanyak 4% selepas Bank Dunia menurunkan jangkaan pertumbuhan KDNK Malaysia pada paras 4.5%s sahaja.
Pastinya ia menambahkan kegusaran banyak pihak yang mana proses memacu semula ekonomi Malaysia dilihat akan perlahan kerana banyak sektor ekonomi yang masih ditutup berikutan jangkitan pandemik COVID-19 masih belum ada tanya-tanya positif untuk mencapai Pemulihan Fasa 3 untuk semua negeri di Malaysia.
Dengan kes positif yang masih tinggi, Pelan Pemulihan Negara masih berada Fasa 1 di kebanyakan negeri buat masa ini sedikit sebanyak melambatkan proses pemulihan ekonomi dan menjelaskan KDNK negara.
Selepas selesainya kemelut politik ini, Perdana Menteri baharu dan kerajaan baharu perlu terus memberi fokus kepada sektor ekonomi semula dalam masa yang sama meneruskan mengawal pandemik COVID-19 dan pemberian vaksin.
Kerajaan baharu nanti perlu memacu semula ekonomi dengan melaksanakan Strategi 6R (Resolve, Resilient, Restart. Recovery, Revitalise and Reform) yang diharapkan mampu membawa Malaysia keluar daripada kemelut ini.
Strategi 6R ini memberi fokus kepada mengawal penularan COVID-19 di Malaysia dan usaha giat memberi vaksin yang banyak setiap hari.
Sehingga 17 Ogos 2021, 11 juta orang penduduk dewasa Malaysia diberi vaksin sepenuhnya. Menurut laporan laman web World In Data COVID, Malaysia kini adalah antara negara tertinggi di dunia dari segi suntikan harian yang diberikan kepada setiap 100 orang dalam populasi, mengatasi negara seperti China, Britain, Perancis dan Jerman.
Selain itu, Kerajaan baharu nanti perlulah secara agresif menjalankan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS). PIKAS dilihat sebagai program yang boleh membendung jangkitan Covid-19 di sektor pengilangan dan pembuatan dengan cepat.
Jika kira-kira 2.5 juta pekerja sektor pengilangan dan pembuatan akan selesai menerima vaksin menerusi pelaksanaan Program PIKAS pada September 2021, ianya pasti akan membantu memulihkan ekonomi dan memacu KDNK negara.
Kerajaan baharu nanti juga perlu lebih agresif untuk memacu pemulihan ekonomi. Kerajaan Pakatan Nasional (PN), pimpinan Tan Sri Muhyidin Yassin telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah 380 bilion ringgit.
Sehingga Julai, sebanyak lebih RM200 bilion telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan. Apa yang baik perlu patut diteruskan oleh kerajaan baharu nanti. Semua pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan tidak boleh dibantutkan dengan kepentingan parti atau kepentingan kerajaan baharu nanti.
Jika semua usaha kerajaan lama diteruskan oleh kerajaan baharu nanti, Malaysia akan perlahan-lahan keluar daripada kedua-dua krisis utama kesihatan dan ekonomi dan dalam masa yang sama KDNK negara juga akan berada pada paras yang baik.
Dalam masa yang sama, kerajaan baharu perlu terus memelihara kebajikan rakyat dan sektor ekonomi yang terjejas termasuk memacu pemulihan ekonomi di peringkat akar umbi . Apa yang boleh dilakukan dengan terus membantu sektor ini contohnya, pelaksanaan projek berskala kecil dan kemudahan kredit mikro kepada dan perniagaan IKS dan rakyat yang terjejas.
Adalah tidak adil untuk mengatakan kerajaan PN gagal kerana bukan mudah untuk menangani cabaran pandemik COVID-19, terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baru seperti varian Delta Plus. Kerajaan PN telah melakukan banyak usaha dalam menyelesaikan masalah kesihatan, ekonomi dan kepentingan rakyat. Rakyat patut berterima kasih dan menghargai usaha kerajaan PN.
Peningkatan kes yang mendadak bukanlah salah kerajaan PN yang gagal mengawal pandemik dan Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menyaksikan peningkatan kes.
Menurut World Health Organization (WHO), berlaku peningkatan kes sebanyak 33% di seluruh Eropah, 16.7% di Afrika, 16.4% di timur Mediterranean, 10 peratus di barat Pasifik dan 8.6% di Asia Tenggara.
Tuntasnya, rakyat bimbang perubahan kerajaan akan mengubah dasar-dasar kerajaan PN yang berkaitan kesihatan dan ekonomi ini.
Kerajaan baharu perlu memastikan peningkatan vaksinasi dipercepatkan. Peningkatan kadar vaksinasi yang tinggi akan menjadi menjadi kunci kepada pemulihan negara.
Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirangka oleh kerajaan PN perlu dilestarikan oleh kerajaan baharu kelak bersama strategi 6R yang bakal membawa negara kekal berada pada landasan pemulihan yang tepat. - DagangNews.com