Kerajaan bantu segera perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang terjejas | DagangNews Skip to main content

Kerajaan bantu segera perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang terjejas

KUALA LUMPUR 8 Dis - Kerajaan akan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas dengan pandemik COVID-19 menerima bantuan dengan segera.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar, berkata usaha memulih dan mengukuhkan PMKS akan diteruskan memandangkan sektor itu memainkan peranan yang penting dalam ekosistem ekonomi serta pekerjaan.

 

Beliau berkata, pemulihan dan pengukuhan PMKS secara langsung akan memberikan semula kehidupan yang lebih selesa kepada rakyat.

 

"Saya komited untuk membantu, mengurus dan berusaha sedaya upaya melahirkan keluarga usahawan.

 

"Ini adalah tekad saya sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap PMKS, memastikan mereka yang terjejas dapat menerima bantuan dengan segera tanpa kerenah birokrasi," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum CEO PKS dan Ulang Tahun Ke-35 Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) di sini hari ini, lapor Berita Harian.

 

Noh berkata, pandemik yang melanda sejak dua tahun lalu memberi kesan besar yang tidak pernah dialami sebelum ini ke atas ekonomi dunia, termasuk Malaysia.

 

Beliau berkata, kajian impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan MEDAC pada 2021 mendapati 37,415 perniagaan gulung tikar dengan 70 peratus daripadanya adalah perusahaan mikro.

 

Beliau berkata, berdasarkan impak itu, kerajaan melaksanakan langkah pemulihan dengan pantas bagi memastikan operasi perniagaan PMKS kekal terjamin.

 

Katanya, Bajet 2022 juga memperkenalkan pelbagai program bertujuan membina keutuhan ekonomi negara supaya dapat bertahan serta bangkit daripada kesan jangka panjang disebabkan pandemik.

 

"Dana yang besar sebanyak RM14.2 bilion diperuntukkan khusus untuk PMKS. Agensi di bawah MEDAC juga memainkan tanggungjawab pembangunan PMKS.

 

"Ini adalah komitmen MEDAC dan juga kerajaan. Saya juga sudah mengarahkan semua pihak di bawah MEDAC menyegerakan penilaian permohonan dan menangani setiap permasalahan PMKS.

 

"Disebabkan itu, saya menggesa PMKS melihat dan berusaha mendapatkan pelbagai faedah dari peluang yang disediakan oleh kerajaan serta mengambil langkah positif melayari norma baharu," katanya.


 

Datuk William Ng
                              Datuk William Ng

 


Sementara itu, Pengerusi SAMENTA, Datuk William Ng berkata, pembangunan PMKS akan terus diperkasakan dengan menangani masalah yang dialami melalui pendekatan empat segi iaitu perundingan dasar, akses pasaran, pemerkasaan perniagaan dan pengembangan keupayaan.

 

Beliau berkata, pandemik COVID-19 memberi tekanan kepada peranan PMKS untuk menyokong ekonomi dan memacu pekerjaan.

 

Namun, katanya, pandemik turut memberi petunjuk kerapuhan ekosistem PMKS negara dengan kerugian sebanyak RM40.7 bilion.

 

"PKS berada di persimpangan kritikal ketika ini. Produktiviti dan daya saing PKS terjejas akibat pandemik serta perubahan pantas telnologi serta pasaran.

 

"Justeru, PMKS perlu dirancakkan lagi dengan pelbagai usaha dan langkah pantas beralih ke arah digital, menerima pakai automasi dan memahami piawaian baru untuk amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya. - DagangNews.com