Kerajaan belanja RM40 juta untuk pembangunan semula Kampung Laut | DagangNews Skip to main content

Kerajaan belanja RM40 juta untuk pembangunan semula Kampung Laut

Lakaran artis pembangunan Kampung Laut di Tumpat, Kelantan - Gambar ECERDC
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

TUMPAT 9 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM40 juta untuk Projek Pembangunan Semula Kampung Laut di sini.

 

Ismail Sabri berkata, projek itu meliputi Laman Warisan Serunding, Laman Warisan Seni dan pemindahan Masjid Lama Kampung Laut.

 

Beliau juga teruja kerana Laman Warisan Kampung Laut kini telah menjadi satu destinasi wajib singgah pengunjung-pengunjung di Kelantan, khususnya di Kota Bharu. 

 

Jelasnya, Serunding Kampung Laut adalah terkenal di Malaysia dan ia merupakan juadah yang mesti dibeli para pelancong apabila ke Kelantan.

 

"Dengan adanya Laman Warisan Serunding, para pengusaha kini beroperasi di sebuah kompleks yang lebih kondusif dan menarik yang akan meningkatkan lagi tarikan dan jualan hasil-hasil pengusaha kepada pengunjung.

 

"Negeri Kelantan kaya dengan kesenian dan kraftangan yang diwarisi sejak turun temurun. Laman Warisan Seni yang dibangunkan akan memelihara warisan seni budaya rakyat Kelantan.

 

"Laman ini juga memberi peluang kepada karyawan-karyawan seni tempatan untuk memasarkan hasil tangan seperti batik, wau dan barangan kraftangan kepada para pengunjung di samping terus mengekalkan budaya seni dan kraftangan Melayu dalam kalangan generasi muda," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Laman Warisan Kampung Laut di sini, hari ini.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, selain pembangunan Kampung Laut, satu lagi projek Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC ialah projek Jambatan Palekbang yang akan bermula hujung tahun ini.

 

 

ECERDC
Lakaran artis projek Jambatan Palekbang - Gambar ECERDC

 

 

Beliau berkata, Jambatan Palekbang merupakan satu lagi projek strategik Majlis Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang mampu menyelesaikan masalah kesesakan aliran trafik di Kota Bharu.

 

"Jambatan ini akan menjadi pemangkin utama dalam menjadikan negeri Kelantan sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan pilihan di Pantai Timur, seterusnya dijangka dapat menambah baik taraf sosioekonomi rakyat tempatan.

 

"Inilah komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan seimbang dinikmati oleh rakyat Kelantan selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia," katanya.

 

Beliau berkata, pengambilan tanah untuk pembangunan projek telah hampir selesai dan pelantikan kontraktor untuk pembinaan jambatan tersebut akan dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.

 

Menurutnya, jambatan sepanjang empat kilometer (km) itu juga akan meningkatkan daya tarikan Kampung Laut sebagai destinasi wajib singgah dan akan menyelesaikan masalah aliran trafik di Jajahan Kota Bharu yang sangat meruncing terutamanya semasa musim perayaan dan cuti sekolah.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ECERDC kerana berjaya memindahkan Masjid Lama Kampung Laut yang merupakan antara masjid kayu tertua di Asia Tenggara, ke lokasi asal di sini.

 

Beliau berkata, sejarah Masjid Kampung Laut banyak berkait rapat dengan penyebaran dakwah di rantau ini pada abad ke-18 selain menjadi simbol kegemilangan syiar Islam di negeri Serambi Mekah ini.

 

"Akibat kerap dilanda banjir termasuk banjir besar pada 1926 dan 1966, masjid ini dipindahkan ke Nilam Puri, kira-kira 20 km dari tapak asal. Saya amat gembira kerana setelah lebih 50 tahun, akhirnya hasrat rakyat Kelantan untuk membawa pulang Masjid Lama Kampung Laut ini menjadi kenyataan ibarat ‘sirih pulang ke gagang’.

 

"Keunikan Masjid Kampung Laut ini terletak pada keseluruhan binaan dibuat daripada kayu cengal dan tanpa menggunakan sebarang paku, selain kehalusan ukirannya yang menjadi tarikan utama pelancong. 

 

"Usaha untuk mendapatkan pengiktirafan Masjid Lama Kampung Laut sebagai Monumen Warisan Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO, pastinya akan dapat memelihara dan melonjakkan taraf profil warisan sejarah dan budaya negeri Kelantan, adalah amat dialu-alukan," katanya.

 

Katanya, Kerajaan Persekutuan menyokong penuh langkah bagi mewartakan Masjid Kampung Laut ini sebagai Monumen Kebangsaan di bawah Jabatan Warisan Negara dan sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO, kerana ia sangat signifikan. 

 

Sementara itu, beliau berkata, ECERDC telah berjaya menarik sebanyak RM13 bilion pelaburan komited sehingga 31 Ogos 2022 yang bakal menjana 7,080 peluang pekerjaan dan hampir 300 peluang perniagaan, yang kini menghampiri sasaran pelaburan komited sebanyak RM14 bilion.

 

"Saya percaya, dengan adanya Pakej Insentif Khas Kelantan dan pembukaan sempadan negara, ECERDC akan dapat menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke ECER," katanya. - DagangNews.com