Kerajaan giat usaha kesan mangsa banjir yang belum daftar untuk Bantuan Wang Ihsan - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan giat usaha kesan mangsa banjir yang belum daftar untuk Bantuan Wang Ihsan - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha mengesan mangsa banjir yang belum berdaftar sedang giat dijalankan bagi memastikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dapat disalurkan segera kepada mereka. 

 

Beliau berkata, berkenaan sedang dilaksanakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri. 

 

Beliau berkata, tiga kaedah yang digunakan bagi penyaluran BWI seperti diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali semalam diyakini bakal mempermudah urusan dengan lebih efektif dan pantas. 

 

"Sehingga semalam, kerajaan telah menyalurkan RM34 juta untuk diagihkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir dan dana yang diperuntukan Kerajaan Persekutuan itu perlu dipermudah dan disegerakan. 

 

"Bantuan ini sudah mula diagihkan di peringkat PKOB dengan kerjasama ICU," katanya di laman Facebook rasminya.

 

Ismail Sabri berkata, mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir dipengerusikan Mohd. Zuki semalam telah membuat keputusan bahawa serahan tunai dilaksanakan bagi memastikan mangsa banjir segera menerima BWI. 

 

"Tiga kaedah digunakan bagi penyaluran BWI adalah serahan tunai di PKOB, serahan tunai rumah ke rumah atau pemindahan tunai secara dalam talian," katanya. - DagangNews.com