Kerajaan, GLIC labur RM1 bilion dana tambahan bagi menyokong syarikat baharu tempatan, usahawan teknologi - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kerajaan, GLIC labur RM1 bilion dana tambahan bagi menyokong syarikat baharu tempatan, usahawan teknologi - PM Anwar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - Kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan melabur RM1 bilion dana tambahan secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat baharu tempatan dan menggalakkan usahawan teknologi.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menduduki tangga ke-20 dunia berdasarkan Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global 2023 dengan nilai ekosistem syarikat pemula Malaysia mencecah AS$46 billion bagi tempoh separuh pertama 2020 sehingga 2022.

 

"Inisiatif itu termasuk memastikan penyediaan dana bagi setiap fasa syarikat berpertumbuhan tinggi dengan memperluas pelaksanaan program seperti Corporate Hackathon dan MYHackathon di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 bagi mendekatkan rakyat dan syarikat pemula untuk  mengatasi masalah yang dihadapi.

 

"Ia juga akan menyediakan peruntukan tambahan RM100 juta bagi mempergiatkan ekosistem R&D&C&I (penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi) dengantumpuan kepada keperluan industri, tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan serta aktiviti pertumbuhan baharu," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, hari ini. 

 

Ini juga sebahagian daripada usaha untuk mencapai Gross Domestic Expenditure on R&D (GERD) sebanyak 3.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030 dan meningkatkan kedudukan kepada 20 teratas dalam Global Innovation Index (GII) menjelang 2025.

 

madani

 

Perdana Menteri berkata, bagi memacu reformasi ekonomi digital, pelaksanaan Digital ID akan disegerakan bagi mengembangkan perniagaan dalam talian dan aplikasi berkaitan. 

 

Beliau berkata, geran padanan digitalisasi akan ditambah RM100 juta bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyegerakan peralihan model perniagaan kepada lebih digital.

 

Perdana Menteri berkata, pasaran modal juga perlu lebih rancak dengan membawa lebih banyak penyenaraian syarikat seterusnya melahirkan 'unicorn' tempatan baharu. 

 

Katanya, sistem perbankan dan pasaran modal perlu bertindak pantas dalam memenuhi keperluan pembiayaan perniagaan. 

 

"Suruhanjaya Sekuriti akan membangunkan Dasar Pembaharuan Pasaran Kewangan dengan memudah cara pelaburan rakyat biasa (retail investors) dan menarik lebih ramai pelabur untuk membiayai PMKS serta aktiviti pertumbuhan baharu negara; dan meningkatkan tahap daya saing pasaran modal pada peringkat antarabangsa.

 

"Langkah awal juga telah dilaksanakan mulai bulan ini (Julai 2023), antaranya pengurangan duti setem atas transaksi saham yang tersenarai di Bursa Malaysia.

 

"Suruhanjaya Sekuriti juga akan membolehkan peralihan automatik untuk syarikat-syarikat yang tersenarai di pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia," katanya. - DagangNews.com