Kerajaan henti eksport 3.6 juta ayam bermula 1 Jun hingga harga, bekalan stabil - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan henti eksport 3.6 juta ayam bermula 1 Jun hingga harga, bekalan stabil - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Kerajaan hari ini mengambil tindakan menghentikan eksport sebanyak 3.6 juta ayam bermula 1 Jun 2022  sebagai antara lima pendekatan segera bagi mengatasi isu kekurangan bekalan bahan makanan itu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu diambil sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil sebagai memberi keutamaan kepada rakyat negara ini.

 

Beliau berkata, kerajaan juga akan mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi.

 

Menurut beliau, permit import (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam juga dimansuhkan bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

 

Pada masa sama, Perdana Menteri memaklumkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam akan dipermudah di samping menambah serta mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.

 

“Kerajaan mengambil berat dan memandang serius terhadap isu peningkatan harga serta bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh Keluarga Malaysia.


 

PM

 

PM

 


“Kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, ketika ini, kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada RM8.90 sekilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) sejak 5 Februari 2022.

 

“Bagaimanapun, kerajaan mendapati beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran.

 

“Setakat ini, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya wujud dakwaan kartel mengawal harga dan pengeluaran ayam.

 

“Kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

 

"Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun.

 

“Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya. - DagangNews.com