Kerajaan jamin tarif baharu elektrik tidak akan bebankan rakyat - Takiyuddin | DagangNews Skip to main content

Kerajaan jamin tarif baharu elektrik tidak akan bebankan rakyat - Takiyuddin

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Kerajaan memberi jaminan tarif baharu elektrik yang akan diumumkan dalam masa terdekat bagi tahun ini sehingga 2024 tidak akan membebankan rakyat.

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tarif baharu itu juga akan memberi manfaat khususnya kepada hampir 85 peratus daripada lapan juta pemilik akaun domestik di seluruh negara.

 

"Keadaan negara sekarang yang baru pulih daripada pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi berikutan wabak itu telah menjadi pertimbangan kepada kerajaan dalam menentukan kadar tarif elektrik baharu.

 

"Kerajaan telah mengkaji perkara ini dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat. 

 

"Namun, saya jamin tarif elektrik tidak akan membebankan rakyat khususnya pemilik akaun domestik iaitu akaun rumah, selain tarif baharu turut melibatkan akaun industri dan komersial," lapor Bernama selepas beliau menyampaikan sumbangan kepada persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, Kelantan.

takiyuddin

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim. - DagangNews.com