Kerajaan kaji mekanisme pastikan kenaikan harga sawit beri manfaat kepada semua | DagangNews Skip to main content

Kerajaan kaji mekanisme pastikan kenaikan harga sawit beri manfaat kepada semua

 

 


KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme untuk memastikan kebaikan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) dalam pasaran dunia dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pada masa hadapan.

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berkata, antaranya, mewujudkan satu mekanisme khas untuk mengatasi isu kenaikan harga minyak tidak bersubsidi.

 

Katanya, peningkatan harga MSM dilihat memberi banyak kesan positif kepada masyarakat dan juga lebih 500,000 pekebun kecil di seluruh negara.

 

"Ini kerana setiap kenaikan harga di pasaran dunia akan memberi kesan ekonomi secara berangkai seperti pertambahan pendapatan negara, pendapatan pekebun kecil sawit bertambah dan kenaikan harga runcit minyak masak," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pendapatan tahunan kasar hasil jualan sawit pada tahun lalu di Semenanjung Malaysia dianggarkan sebanyak RM9,570 satu hektar. 

 

Di Sabah dan Sarawak masing-masing telah menjana hasil jualan sebanyak RM7,756 dan RM7,650 satu hektar. 

 

Bagi tempoh 5 bulan pertama 2021, berikutan peningkatan harga MSM, hasil kutipan duti eksport MSM adalah dianggarkan berjumlah RM564.82 juta, melonjak 5 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak RM111 juta. 

 

Di samping itu, kutipan Levi Keuntungan Luar Biasa (WPL) dianggarkan sebanyak RM950 juta bagi tahun ini berbanding hanya RM165 juta bagi 2020. 

 

la berikutan kenaikan harga MSM yang melebihi RM3,500 satu tan dari Januari hingga Mei 2021 dan anggaran harga MSM melebihi RM2,500 satu tan sehingga Disember 2021.

 

Sehubungan itu, KPPK melihat industri sawit negara masih mengekalkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam pasaran minyak sayuran dan lelemak dunia. 

 

Pada 2020, Malaysia mengeksport sebanyak 17.40 juta tan minyak sawit mentah (MSM) atau 18.3% daripada keseluruhan jumlah eksport minyak sayuran dan lelemak dunia.

 

Sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara juga telah meningkat kepada RM73.25 bilion pada tahun lalu berbanding RM67.55 bilion pada tahun 2019.

 

Sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu bernilai RM48.31 bilion atau mewakili 56.8 peratus daripada keseluruhan sumbangan KDNK sektor agrikomoditi negara.

 

"Kami percaya, kedudukan Malaysia tidak akan tergugat pada tahun ini apabila sehingga suku kedua 2021, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43% daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM46 bilion berbanding RM33 bilion pada tahun lalu," jelasnya.

 

Menurut KPPK, sektor agrikomoditi khususnya subsektor sawit akan terus memainkan peranan menyumbang kepada unjuran ekonomi yang lebih positif sepanjang tahun ini serta memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan kepada pekebun kecil sawit di seluruh negara. - DagangNews.com