Kerajaan kali ini akan stabil jika bekerjasama baik dengan pembangkang tangani pandemik - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Kerajaan kali ini akan stabil jika bekerjasama baik dengan pembangkang tangani pandemik - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Kerajaan baharu yang bakal dibentuk di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 mampu bergerak stabil sekiranya mereka bekerjasama baik dengan parti pembangkang bagi menangani pandemik COVID-19. 

 

Perkara ini bukan sahaja dilihat akan membawa kestabilan ekonomi, malah positif buat pasaran ekuiti tempatan, menurut firma penyelidikan, CGS-CIMB Research.

 

Tugas utama yang perlu digalas beliau adalah untuk menentukan barisan Kabinet baharu yang mampu meraih keyakinan masyarakat dari segi tindak balas mereka dalam menangani COVID-19 selain melonjakkan semula ekonomi negara. 

 

“Ismail Sabri mungkin berdepan undi tidak percaya apabila Parlimen dibuka semula pada 6 September, dan kami berpendapat ada kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tetap akan diteruskan pada tahun 2022. 

 

“Kerajaan sebelum ini telah membayangkan bahawa ia merancang untuk membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober 2021,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

Setelah meraih 114 sokongan daripada Ahli Parlimen, Yang di-Pertuan Agong perkenan untuk melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas peletakan jawatannya. 

 

Ini bermakna, Ahli Parlimen Bera itu menjadi Perdana Menteri UMNO pertama yang bukan Presiden parti tersebut. 

 

CGS-CIMB neutral terhadap perkembangan berkenaan dan melihat pelantikan Ismail Sabri dijangka meneruskan dasar-dasar yang ditetapkan kerajaan sebelum ini, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat. 

 

Ini memandangkan beliau merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri di bawah kerajaan pimpinan Muhyiddin serta gabungan pemerintahan Perikatan Nasional (PN) masih lagi utuh, tambah CGS-CIMB.

 

“Sama seperti pendahulunya, Ismail Sabri memperoleh majoriti tipis daripada empat kerusi di Parlimen. Pengerusi PN (Muhyiddin) telah menyatakan bahawa sokongan PN untuk Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah bersyarat bahawa barisan Kabinetnya mesti terdiri daripada mereka yang berintegriti dan boleh dipercayai, dan bebas daripada sebarang tuduhan di mahkamah,” jelas firma itu lagi.

 

Kemelut politik negara ini dicetuskan oleh peletakan jawatan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada tahun 2020, sekali gus membuka ruang kepada Muhyiddin untuk membentuk kerajaan baharu di bawah gabungan PN.

 

Bagaimanapun, Muhyiddin melepaskan jawatannya pada 16 Ogos lalu setelah tidak lagi memegang majoriti penuh di Parlimen, sehinggalah mendorong kepada pembentukan kerajaan baharu di bawah kepimpinan Ismail Sabri. - DagangNews.com