Kerajaan lancar pelan tindakan bendung gejala buruh paksa Nov ini | DagangNews Skip to main content

Kerajaan lancar pelan tindakan bendung gejala buruh paksa Nov ini

Supermax Corp dikenakan sekatan oleh CBP AS dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu ekoran dakwaan penggunaan buruh paksa dalam operasi pengeluarannya.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Kementerian Sumber Manusia akan melancarkan Pelan Tindakan Nasional Buruh
Paksa pada November ini bagi membendung gejala penggunaan buruh paksa di negara ini. 

 

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pelan tersebut mengandungi 4 matlamat strategik dari aspek kesedaran, penguatkuasaan, migrasi buruh dan akses kepada remedi dan perlindungan untuk mangsa.

 

Katanya, isu buruh paksa ini memberikan imej yang buruk terhadap sektor pembuatan sarung tangan getah negara memandangkan Malaysia merupakan pengeksport utama yang menguasai 60% pasaran global dan turut menyumbang 51.1% daripada keseluruhan jumlah eksport negara.

 

"Dalam hal ini, kerjasama daripada pelbagai pihak merupakan elemen paling penting terutama dari segi penyebaran maklumat untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai isu buruh paksa," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Isu buruh paksa dalam sektor pembuatan sarung tangan getah mula dikaitkan dengan syarikat tempatan bermula pada September 2019. 

 

Sehingga kini, 3 syarikat tempatan telah dikenakan sekatan, namun ia ditarik balik pada Mac dan September 2020.

 

 

Baca : Berdepan dakwaan guna buruh paksa, penganalisis semak turun penarafan, pendapatan Supermax

 

 

Terbaharu, pada Rabu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan perintah sekatan pelepasan (WRO) terhadap Supermax Corp. Bhd. dan anak-anak syarikatnya berdasarkan maklumat yang secara munasabah mengenai dakwaan penggunaan buruh paksa dalam operasi pengeluaran. 

 

Menerusi makluman di Bursa Malaysia semalam, Supermax Corp. berkata, wakilnya di AS sedang berurusan dengan pihak CBP bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung WRO yang dikenakan ke atas produk keluarannya serta langkah-langkah susulan.

 

Syarikat itu turut menegaskan bahawa ia sudah melaksanakan langkah-langkah bagi memenuhi standard ILO yang membabitkan aspek pekerja migran sejak 2019.

 

M. Saravanan berkata, kementerian memandang serius sekatan import yang dikenakan CBP terhadap produk berasaskan getah keluaran anak syarikat Supermax Corp. 

 

Katanya, sekatan ini dikenakan berdasarkan kepada siasatan US CBP yang mendapati bahawa syarikat tersebut mempunyai 10 indikator buruh paksa dalam operasi pembuatan mereka.

 

"Sehubungan itu, saya dan pihak kementerian akan memberi tumpuan terhadap perkara ini. Pada masa sama, saya menyeru semua pihak dapat bersama-sama dengan kerajaan untuk memastikan negara dapat menangani dan seterusnya membendung gejala buruh paksa.

 

"Ini kerana, jalinan kerjasama untuk menjayakan usaha ini bukan sahaja dalam kalangan kementerian dan agensi kerajaan, tetapi penglibatan daripada persatuan majikan, kesatuan sekerja, pertubuhan masyarakat madani dan orang awam juga diperlukan," tegas beliau. - DagangNews.com