Kerajaan mulakan kajian semula duti anti-lambakan keluli aloi | DagangNews Skip to main content

Kerajaan mulakan kajian semula duti anti-lambakan keluli aloi

 

 

KUALA LUMPUR 13 April - Kerajaan akan memulakan kajian semula pentadbiran (pelanjutan tempoh) duti anti-lambakan bagi import keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk. 

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, langkah ini diambil setelah kerajaan menilai dan mempertimbangkan bukti-bukti lambakan, kemudaratan dan hubung kait antara kedua-duanya.

 

Ini adalah susulan petisyen yang dikemukakan pengeluar tempatan, Mycron Steel CRC Sdn. Bhd. pada 15 Mac lalu bahawa penamatan duti anti-lambakan yang sedang berkuat kuasa berkemungkinan menyebabkan lambakan dan
kemudaratan berterusan atau berulang terhadap industri Malaysia.

 

"Ia juga mendakwa bahawa dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari negara-negara berkenaan telah meningkat dan dilambak ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan domestik di negara-negara berkenaan. 

 

"Pempetisyen turut mendakwa bahawa kesan lambakan tersebut telah mengakibatkan kemudaratan material terhadap keluaran serupa industri domestik di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Petisyen itu dikeluarkan bagi kajian semula pentadbiran (pelanjutan tempoh) duti anti-lambakan bagi import keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk yang mempunyai ketebalan antara 0.20 mm hingga 2.60 mm dan
kelebaran antara 700 mm hingga 1,300 mm yang berasal atau dieksport dari China, Korea dan Vietnam yang akan berakhir 21 Mei 2021.

 

Menurut MITI, selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994, suatu penentuan muktamad akan dibuat dalam tempoh 180 hari dari tarikh pemulaan penyiasatan. 

 

"Sekiranya penentuan muktamad adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan bagi mencegah kemudaratan lanjut terhadap industri domestik," katanya. - DagangNews.com