Kerajaan pertimbang gubal ordinan bagi golongan anti vaksin | DagangNews Skip to main content

Kerajaan pertimbang gubal ordinan bagi golongan anti vaksin

Hamzah Zainuddin. - Gambar oleh TheStar

Hamzah Zainuddin

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Kerajaan sedang mengkaji dan mempertimbangkan penggubalan ordinan untuk membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap golongan anti vaksin yang menghasut masyarakat untuk menolak vaksin COVID-19.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ordinan berkenaan mungkin diperlukan memandangkan wujudnya kempen oleh pihak tertentu untuk menolak vaksin.

 

"Insya Allah ekiranya boleh, ia akan dijadikan sebagai satu ordinan. 

 

"Sekiranya mereka (golongan anti vaksin) tidak mahu mengambil vaksin, itu adalah masalah mereka, tetapi yang menjadi masalah adalah mereka buat kempen untuk orang tidak ambil vaksin.

 

“Itu menjadi masalah kepada kita (kerajaan),” jelasnya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas membuat lawatan mengejut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah pusat membeli-belah, hari ini.

 

Turut hadir, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Khas) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dan Ketua Polis Daerah Brickelds, ACP Anuar Omar.

 

Tambah beliau, Malaysia perlu mencapai imunisasi kelompok bagi membolehkan kesemua aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi semula seperti biasa.

 

Sehingga 3 Jun 2021, seramai 2.2 juta individu telah berjaya mendapatkan vaksin bagi dos pertama.

 

Sementara itu, 1.1 juta individu berjaya melengkapkan suntikan dos kedua sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin di negara ini seramai 3.3 juta orang. - DagangNews.com