Kerajaan rangka pelan khusus pelaburan hijau, tubuhkan petugas khas bangunkan semikonduktor secara strategik | DagangNews Skip to main content

Kerajaan rangka pelan khusus pelaburan hijau, tubuhkan petugas khas bangunkan semikonduktor secara strategik

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Jan - Majlis Pelaburan Negara (MPN) hari ini telah bersetuju untuk merangka sebuah pelan khusus bagi meningkatkan pelaburan hijau di Malaysia dan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi membangunkan industri semikonduktor secara strategik.

 

Perkara ini dizahirkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa mempengerusikan Mesyuarat MPN yang pertama bagi tahun 2024.

 

Justeru, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan merangka satu pelan strategik bagi meningkatkan pelaburan hijau, sekaligus menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau, bagi mencapai sasaran karbon sifar bersih seawal tahun 2050, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

 

Sejajar dengan penekanan terhadap pelaburan hijau, mesyuarat juga memutuskan untuk menjenamakan projek Kerajaan Persekutuan yang diumumkan di dalam Belanjawan 2024, iaitu Kerian Integrated Industrial Park, sebagai Kerian Integrated Green Industrial Park.

 

"Ia diharap akan menjadi pencetus kepada peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui secara sepenuhnya oleh industri-industri yang bakal dibangunkan di taman perindustrian tersebut," kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dalam kenyataan di sini.


 

anwar

 

anwar

 


Melihat kepada kepentingan industri semikonduktor yang menyumbang sebanyak 45.4% (atau RM593.5 bilion) kepada jumlah eksport hasil industri pembuatan Malaysia, bersamaan 7.1% KDNK negara, Mesyuarat juga memutuskan untuk
menubuhkan Petugas Khas Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSSTF).

 

Ia adalah satu platform khusus untuk membangunkan ekosistem semikonduktor dan menarik pelaburan strategik dalam sektor ini. NSSTF akan dipengerusikan oleh Menteri MITI, dan dijangka memperkukuhkan lagi sektor tersebut yang pada masa ini menyumbang 13% kepada aktiviti pemasangan, ujian dan pembungkusan cip global dan 10% kepada pasaran semikonduktor global.

 

NSSTF akan turut melibatkan penyertaan pelbagai kementerian, ahli akademia serta pemain industri domestik dan global, bagi memperkasakan hala tuju industri semikonduktor yang merupakan tunjang utama bagi sektor Elektrikal dan Elektronik (E&E) negara, serta pelbagai sektor lain seperti kenderaan elektrik (EV) dan sektorsektor berasaskan teknologi.

 

"Ini adalah penting bagi memastikan industri semikonduktor negara lebih berdaya saing dan kalis masa hadapan seiring dengan perkembangan teknologi, perundangan, trend semasa dan polisi terkini di peringkat global.

 

"Kesemua usaha ini bakal memastikan pelaksanaan pelaburan ke dalam negara akan mencapai objektif Ekonomi MADANI, termasuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 30 teratas dari segi ekonomi terbesar dunia, dan 12 teratas dari segi daya saing global dalam tempoh 10 tahun," kata kenyataan MITI. - DagangNews.com