Kerajaan sasar peningkatan 40% perkhidmatan E2E akhir 2020 | DagangNews Skip to main content

Kerajaan sasar peningkatan 40% perkhidmatan E2E akhir 2020

Mohd. Zuki Ali

Tan Sri Mohd. Zuki Ali

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Kerajaan mensasarkan peningkatan sebanyak 40% terhadap kadar penyampaian bagi perkhidmatan dalam talian end-to-end (E2E) menjelang akhir tahun 2020.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding sasaran yang diletakkan pada 2019 iaitu sebanyak 20.2%.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, sistem penyampaian kerajaan terkesan akibat COVID-19 yang mengakibatkan rakyat dan komuniti perniagaan menghadapi masalah untuk hadir berurusan di agensi kerajaan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Oleh yang demikian, kita telah mengarahkan agar Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) merangka dan menyelaras strategi penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah pengamalan norma
baharu pasca COVID-19. 

"Fokus akan diberikan ke arah pendigitalan penyampaian perkhidmatan dengan memanfaatkan industri 4.0 yang menjurus kepada perkhidmatan E2E," katanya dalam perasmian maya Majlis KickOff Projek Rintis Sistem Penyampaian Kerajaan ke Arah Pengamalan Norma
Baharu Pasca COVID-19 di Putrajaya hari ini.

Turut hadir dalam majlis maya tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak; Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Dr. Yusof Ismail; Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud dan ramai lagi.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh MAMPU bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Pada peringkat awal, JPJ dan JIM telah dipilih sebagai agensi projek rintis dalam peningkatan perkhidmatan E2E,
pemantapan proses kerja dan pengurangan perkhidmatan kaunter. 

Projek berkenaan dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh enam bulan mulai November 2020. 

“Kerajaan akan terus meningkatkan lagi perkhidmatan E2E ini walaupun perlu menghadapi beberapa cabaran yang telah dikenalpasti seperti kekangan akta dan peraturan, prasarana ICT dan kekangan peruntukan.

"Adalah penting untuk semua agensi kerajaan menyediakan pelan strategik pendigitalan secara menyeluruh yang
merangkumi keselamatan komunikasi, rangkaian siber serta mengkaji semula perundangan dan peraturan bagi meningkatkan tadbir urus pengurusan data kerajaan," tambahnya lagi. - DagangNews.com