Kerja 'HR' perlu beralih kepada pendigitalan | DagangNews Skip to main content

Kerja 'HR' perlu beralih kepada pendigitalan

HR

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Pekerjaan Operasi Sumber Manusia (HR) perlu beralih kepada dunia pendigitalan seiring dengan jangkauan dan keupayaan teknologi masa kini.

Digi dalam tinjauannya berkaitan Pendigitalan Sumber Manusia di Malaysia bersama Vase.AI baru-baru ini menunjukkan satu daripada tiga pekerja HR berpendapat bahawa proses kerja yang dilakukan secara tradisional adalah tidak berkesan dan tidak sistematik.

"32% pekerja mengatakan proses tradisional yang diguna pakai kini tidak berkesan kerana memerlukan tenaga kerja yang ramai.

"Manakala 21% pekerja pula mengatakan cara tersebut mempunyai tahap keselamatan yang rendah dalam menjamin keselamatan data dan 21% lagi mengeluh terhadap kesukaran yang dihadapi untuk mengesan dan mengukur pertumbuhan atau prestasi dengan menggunakan cara tradisional," jelas kenyataan itu.

HR

Tinjauan tersebut dijalankan kepada pekerja HR daripada pelbagai industri di Malaysia bagi mengetahui tahap pendigitalan dalam HR.

Tinjauan sama juga mendapati 36% pekerja yang tidak berpengalaman dalam menggunakan platform digital HR tidak mengetahui sama ada syarikat mereka mempunyai perancangan pendigitalan atau sebaliknya.

Sementara itu, 28% pekerja lain mengatakan syarikat mereka mempunyai perancangan untuk bergerak ke arah pendigitalan, namun tidak mempunyai rancangan kukuh dalam aspek pelaksanaan.

Dalam kenyataan sama, sebanyak 44% hasil tinjauan mengatakan syarikat mereka pernah menggunakan platform digital HR dan kemudiannya beralih semula ke proses tradisional akibat kos yang tinggi.

"28% syarikat tidak melihat pendigitalan sebagai satu keperluan kerana saiz syarikat yang kecil.

"17% lagi meluahkan mengenai isu ketidakcekapan sistem dalam menggabungkan semua tugasan di samping 15% lagi pula bimbang sekiranya digitalisasi akan menambah bebanan kerja," jelas kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, seramai 88% pekerja pula berpendapat penggunaan digital dapat mengurangkan bebanan kerja dengan sangat berkesan. 

Sementara 57% yang lain bersedia untuk meningkatkan kemahiran diri seiring dengan perubahan masa.

Peratusan tersebut turut diikuti dengan 37% responden yang melihatnya sebagai langkah menjimatkan masa dan 29% lagi percaya bahawa pendigitalan mampu memperbaiki ketepatan data. - DagangNews.com