Kerja kosong bidang digital meningkat 300% | DagangNews Skip to main content

Kerja kosong bidang digital meningkat 300%

 


Oleh DR. SUMITRA NAIR

 

Memandangkan Malaysia dan dunia mengalami kesan berpanjangan akibat pandemik COVID-19, peranan digital semakin penting untuk kelangsungan perniagaan. 

 

Oleh itu, tidaklah menghairankan jika Malaysia menyaksikan peningkatan hampir 3 kali ganda jawatan kosong digital bermula Jun 2020 hingga April 2021. 

 

Data ini diperoleh berdasarkan kajian kekosongan pekerjaan digital oleh Perbaanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi 5 platform pengambilan popular di Malaysia sejak Jun 2020. 

 

MDEC mendapati pada Jun tahun lalu, jumlah kekosongan jawatan digital ialah sebanyak 19,000 dan meningkat kepada lebih 56,000 kekosongan pada Mac 2021. 

 

LinkedIn menawarkan kekosongan jawatan paling banyak berbanding 4 platform lain. Pekerjaan paling popular meliputi bidang Pembangunan Perisian, Sains Data, Perkhidmatan IT dan e-dagang. 

 

Sebanyak 76% kekosongan adalah untuk pekerja berpengalaman berbanding hanya 20% yang inginkan graduan baharu manakala selebihnya untuk pelajar menjalankan latihan industri.

 

Berdasarkan data daripada platform LinkedIn Talent Insights (LTI), kemahiran yang sangat diminati di Malaysia dan Asia Tenggara merangkumi bidang analitik, pengembangan perisian serta pengaturcaraan dan pengkomputeran awan. 

 

Pada masa sama, semakin banyak industri bukan teknologi seperti syarikat pasaran, kosmetik, muzik dan tembakau telah meningkatkan pengambilan bakat digital sejak setahun lalu. 

 

Selain itu, didapati sektor teknologi maklumat, komunikasi dan perkhidmatan kewangan juga berusaha memenuhi permintaan yang tinggi untuk bakat digital di sektor masing-masing. 

 

Bahagian Kemahiran dan Pekerjaan Digital MDEC mendedahkan perkara ini berdasarkan analisis data yang diperoleh daripada platform LTI pada April 2021. 

 

Penyelidikan MDEC melibatkan lebih daripada 960 peranan digital di semua industri di Malaysia dan Asia Tenggara.

 

MDEC
MDEC mendapati pada Jun tahun lalu, terdapat 19,000 jumlah kekosongan jawatan digital.

 

 

Di manakah bakat digital ini?

 


Sehingga April 2021, didapati lebih 240,000 bakat digital di Malaysia mempunyai profil LinkedIn dan lebih separuh menetap di Selangor dan Kuala Lumpur. 

 

Selain itu, taburan bakat digital juga didapati di Johor, Pulau Pinang dan Melaka.

 

Ini berkemungkinan besar disebabkan oleh kewujudan beberapa universiti seperti Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Multimedia di negeri-negeri tersebut. 

 

Majikan yang sangat memerlukan bakat digital mungkin akan melaksanakan pengambilan pekerja mereka di negeri-negeri tersebut.

 

Jawatan paling popular dalam kalangan bakat digital di Malaysia merangkumi eksekutif, pakar, pengurus pemasaran digital, saintis data, jurutera perisian, ketua bahagian digital dan yang paling menarik ialah Youtuber.

 

Data daripada LTI juga menunjukkan bahawa sejak setahun lalu, terdapat peningkatan antara 20 hingga 30% dalam jumlah bakat yang bekerja sendiri sebagai freelancer atau YouTuber.

 

Kecenderungan peningkatan bilangan pekerja bebas ini sesuai dengan fokus kerajaan terhadap ekonomi gig. 

 

Ini termasuk program Global Online Workforce (GLOW) Penjana MDEC yang melatih lebih daripada 10,000 rakyat Malaysia yang menganggur mengenai cara mendapatkan pekerjaan bebas melalui platform dalam talian.

 

gambar hiasan
Jawatan paling popular dalam kalangan bakat digital di Malaysia merangkumi eksekutif, pakar, pengurus pemasaran digital, saintis data, jurutera perisian, ketua bahagian digital.

 

 

Apa kemahiran yang dimiliki bakat ini?

 

Di Malaysia, kemahiran digital yang berkembang pesat merangkumi Sains Komputer, Teknologi Maklumat, Python dan Adobe Premier Pro yang secara konsisten menunjukkan pertumbuhan lebih daripada 30% tahun lalu. 

 

Phyton adalah salah satu kemahiran asas untuk kerjaya sains data yang dapat menjelaskan lonjakan kemahiran ini. 

 

Kemahiran yang berkembang pesat di Malaysia agak berbeza di negara-negara Asia Tenggara yang lain. 

 

Sebagai contoh, terdapat peningkatan ketara membabitkan data analitik, dalam analitik data dan kemahiran pengembangan laman web dan kemahiran React di negara-negara berkenaan. 

 

Memandangkan kemahiran digital yang sangat diminati di Malaysia termasuk pengkomputeran awan dan pelbagai program pengaturcaraan, bakat digital tempatan yang ingin meningkatkan kebolehpasaran mereka boleh mendalami kemahiran yang sedang berkembang di negara jiran.
  

 

Apakah maksud trend ini untuk bakat Malaysia?

 


Walaupun jumlah kekosongan jawatan digital adalah tinggi namun kebanyakan adalah untuk pekerja berpengalaman dan ini memberi cabaran kepada graduan baharu. 

 

Dalam jangka masa pendek, graduan baharu boleh merapatkan jurang pengalaman dengan menyertai pekerjaan bebas digital melalui platform seperti Upwork, Freelancer.com atau Fiverr. 

 

Pada masa sama, bakat digital junior ini juga harus mempelajari beberapa kemahiran digital yang sangat diperlukan seperti analitik, pengembangan perisian, pengaturcaraan dan pengkomputeran awan. 

 

Dalam usaha membantu bakat memilih kursus latihan yang tepat, MDEC telah mewujudkan Direktori Latihan Kemahiran Digital yang menyenaraikan kursus yang telah disemak dan disahkan oleh pengamal teknologi pakar.

 

Pencari kerja dinasihatkan supaya merujuk ke direktori ini manakala pekerja sedia ada juga dapat meningkatkan kemahiran dengan mengikuti kursus -kursus yang ditawarkan. 

 

Bagi lepasan sekolah menengah atau pelajar pra-universiti yang masih keliru mengenai kursus yang harus dipohon di universiti, trend ini menunjukkan peluang kerjaya dalam bidang berkaitan teknologi digital.

 

Dalam hal ini, MDEC bekerjasama dengan 11 universiti dan lima politeknik menerusi inisiatif Institusi Teknologi Digital Premier (PDTI). 

 

Hasil kerjasama erat ini yang turut membabitkan pemain industri, lebih daripada 90% graduan teknologi digital mereka mendapat pekerjaan dalam tempoh 6 bulan selepas graduasi. 

 

Beliau ialah Naib Presiden dan Ketua Bahagian Kemahiran dan Kerjaya Digital MDEC. - DagangNews.com

randau industri