Kerjasama IBFIM, IIiBF perkukuh pematuhan syariah dalam kewangan Islam | DagangNews Skip to main content

Kerjasama IBFIM, IIiBF perkukuh pematuhan syariah dalam kewangan Islam

 

 


KUALA LUMPUR 17 Sept. – Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) sedang bekerjasama dengan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa (IIiBF) membabitkan program membina asas pengetahuan syariah dalam kalangan pelajar dan memperkukuhkan perkembangan kewangan Islam di peringkat global.

 

Program bersiri i-Kontrak yang telah direka khusus oleh IBFIM dan IiiBF ini, bertujuan memberi panduan berkaitan piawaian dan keperluan operasi bagi memperkukuhkan pematuhan syariah di dalam industri kewangan Islam. 

 

Pendekatan pembelajaran yang diterapkan melalui program ini amat penting kerana ia merupakan suatu anjakan paradigma bagi pemahaman yang lebih mendalam terutama menghubungkait aspek teori dan operasi dalam kontrak syariah.

 

Program ini dilancarkan oleh Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Datuk Dr. Mohd Daud Bakar dan diadakan sempena program Wacana Presiden Kewangan Islam UIAM yang disampaikan Pengerusi Bursa Malaysia Bhd., Tan Sri Abdul Wahid Omar.

 

 

Prof. Dr. Rusni Hassan
Rusni Hassan

 

 

Dekan IIiBF, Prof. Dr. Rusni Hassan berkata, berdasarkan kejayaan program tersebut yang pertama kali diadakan pada 2019, tahun ini akan membahas isu mengenai Kewangan Islam yang lestari dan berteraskan nilai. 

 

"Dalam perjalanan menuju ke arah pembangunan kelestarian global, adalah sangat penting bagi sistem kewangan memainkan peranan dalam memberi kesejahteraan sosioekonomi yang berpanjangan. 

 

"IIiBF melalui program ini menyokong agenda strategik UIAM berkaitan dengan kelestarian," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau menyifatkan program kerjasama IIiBF-IBFIM ini menandakan sinergi antara pihak industri dan akademik dalam memastikan perkembangan berterusan industri kewangan Islam. 

 

"IIiBF sebagai pusat kecemerlangan utama pendidikan dan penyelidikan dalam perbankan dan kewangan Islam
berbangga dengan kerjasama ini,” tambah beliau.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, inisiatif ini dilihat dapat membuka ruang bagi pemahaman yang lebih jelas, menyelaraskan pengetahuan dan amalan praktikal antara sarjana syariah dan pengamal industri.

 

“IBFIM dan IiiBF berkongsi aspirasi yang sama dalam usaha memperkukuh dan meletakkan Malaysia sebagai hab ilmu pengetahuan kewangan Islam yang terkenal. 

 

"Usaha ini akan menjadi titik awal rujukan bagi komuniti kewangan Islam di peringkat global," katanya. - DagangNews.com