Kerjasama Thailand-Malaysia perkukuh sektor pelancongan serantau | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Thailand-Malaysia perkukuh sektor pelancongan serantau

Oleh LIZA ABDULLAH YUSUF

KUALA LUMPUR 1 Nov - Pelancongan Thailand Tourism Authority of Thailand (TAT) yakin kerjasama antara pihaknya dengan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) merancakkan industri pelancongan kedua-dua negara. 

 

Hasrat ini dizahirkan Timbalan Gabenor TAT bagi pasaran Asia dan Pasifik Selatan, Tanes Petsuwan yang optimis bahawa industri ini mempunyai peluang yang cukup mudah untuk menjana perolehan lumayan.

 

Beliau berkata, kadar kemasukan pelancong ke Thailand sejak sempadan negara dibuka boleh dimanfaatkan kedua-dua negara bagi merancakkan sektor ini yang sebelum ini terjejas kesan pandemik COVID-19.

 

“Kemasukan pelancong Malaysia sangat membanggakan dengan dianggarkan sejumlah 1.1 juta bagi tempoh bermula 1 Januari hingga 7 Oktober lalu. 

 

“Jumlah ini mencerminkan industri pelancongan berada pada landasan kukuh,” katanya  pada majlis penghargaan ‘Amazing Thailand, A Million Thanks to the Malaysians’ kepada rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan kepada industri Thailand di sini, baru-baru ini.

 

Majlis turut dihadiri oleh Charge d’Affaires Kedutaan Diraja Thailand Kuala Lumpur, Piyapin Niyomrerks yang turut menyampaikan kata aluan dengan ucapan terima kasih kepada rakan industri pelancongan Thailand di Malaysia.

 

Tanes Petsuwan berkata, kedua-dua negara ini mempunyai banyak keunikan yang menjadi tumpuan pelancong asing. Keindahan alam dan keunikan seni dan budaya kedua-dua negara boleh dipromosikan bersama. 

 

 

tourism
Piyapin Niyomrerks

 

 

Usaha ini selaras dengan saranan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa peserta sektor pelancongan untuk lebih proaktif dalam memacu industri yang dilaporkan akan segera pulih selepas negara membuka pintu sempadan baru-baru ini.

 

Bagi melancarkan proses pemulihan itu, beliau menyarankan kepada kerajaan supaya semua 20,000 peserta perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) sektor agropelancongan ditawarkan moratorium untuk tempoh waktu tertentu. 

 

 

tourism

 

 

Ini bagi membolehkan mereka mengoptimumkan aliran wang tunai untuk menaik taraf kemudahan penginapan dan kelengkapan pelancong, katanya.

 

Muhyiddin optimis menerusi penawaran moratorium pasca COVID-19 kepada PMKS agropelancongan selain insentif daripada kerajaan membolehkan industri pelancongan negara terus berdaya saing dan relevan di pasaran yang begitu mencabar kini.

 

Laporan TAT menyatakan pintu masuk ke Thailand telah dibuka semula sepenuhnya kepada pelancongan antarabangsa pada 1 Oktober lalu.

 

Pelancong Malaysia adalah antara mereka yang boleh menikmati tempoh lanjutan tinggal di Thailand selama 45 hari (naik daripada 30 hari) berkuat kuasa sehingga 31 Mac 2023.

 

Pada masa ini terdapat 27 penerbangan antarabangsa setiap hari antara bandar Thai dan Malaysia yang dikendalikan oleh Thai Airways International (THAI), AirAsia, Malaysia Airlines, Thai Smile, Firefly dan Batik Air. - DagangNews.com