Kerugian bersih Tan Chong Motor diramal terus meningkat kepada RM82 juta pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Kerugian bersih Tan Chong Motor diramal terus meningkat kepada RM82 juta pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - RHB Investment meramalkan Tan Chong Motor Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih lebih besar sebanyak RM82 juta pada FY24 berbanding RM72 juta sebelum ini didorong jualan kenderaan yang lebih rendah.

 

Walaupun pihak pengurusan memberitahu, Nissan Almera baharu telah menerima tempahan yang kukuh tetapi kami percaya pasaran tempatan terus memihak kepada pengeluar kereta nasional kerana harga yang lebih baik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pembuat kereta bukan nasional lain juga merancang pelancaran model baharu menyebabkan Nissan berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan.

 

"Memandangkan kekurangan pelancaran model baharu, kami menjangkakan kumpulan itu akan terus kehilangan tempat kepada pesaingnya dari segi bahagian pasaran. 

 

"Bagi tempoh tujuh bulan tahun ini, bahagian pasaran Nissan di Malaysia berada pada 1.15% (FY23: 1.26%)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Tan Chong terus merekodkan kerugian untuk suku ketujuh berturut-turut apabila jualan merosot di tengah-tengah persaingan sengit dalam industri automotif di dalam dan luar negara.

 

Kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih lebih tinggi kepada RM40.11 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) daripada RM18.13 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Pendapatan untuk suku berkenaan juga merosot sebanyak 12% tahun ke tahun kepada RM545.1 juta daripada RM619.2 juta.

 

RHB Investment berkata, syarikat itu terus mengalami kerugian, kerana jumlah jualan terus menurun disebabkan permintaan yang lemah untuk model kenderaannya dan kekurangan pelancaran model baharu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'jual' kerana merasakan kumpulan itu akan terus berada dalam kerugian tanpa sebarang pemangkin untuk kembali mencatatkan keuntungan dan pada masa sama menurunkan harga sasaran (TP) kepada 65 sen sesaham berbanding 73 sen sebelum ini," katanya. - DagangNews.com