Kerugian sebelum cukai Minetech susut kepada RM1.66 juta bagi 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Kerugian sebelum cukai Minetech susut kepada RM1.66 juta bagi 1QFY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Syarikat pakar kejuruteraan awam dan pengeluar produk bitumen, Minetech Resources Berhad mencatatkan penurunan kerugian sebelum cukai sebanyak RM1.66 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2022 (1QFY23) berbanding kerugian RM4.35 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Pengurangan kerugian itu disumbangkan oleh kenaikan perolehan sebanyak 43.2% kepada RM24.05 juta bagi suku itu berbanding RM16.80 juta pada suku sama pada tahun sebelumnya. 

 

Bahagian kejuruteraan awam Minetech mencatatkan sumbangan hasil sebanyak RM13.7 juta untuk 1QFY23 peningkatan sebanyak 34.3% berbanding RM10.2 juta pada 1QFY22.

 

Bahagian pembuatan yang mengeluarkan produk bitumen untuk salutan paip, kalis air dan pengedap, merekodkan sumbangan hasil sebanyak RM5.85 juta, peningkatan sebanyak 75.1% berbanding RM3.34 juta pada 1QFY22.

 

Pengarah Eksekutif Minetech, Matt Chin berkata, sumumbangan bahagian kejuruteraan awam disokong oleh hasil yang lebih tinggi daripada Lombong Emas Selinsing pada suku yang ditinjau berbanding suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

 

Beliau berkata, bahagian pembuatan menyaksikan peningkatan ketara dalam hasil disebabkan peningkatan dalam jualan hasil daripada pertambahan permintaan daripada projek paip air dan penurapan jalan.

 

minetech
Matt Chin

 

“Pertumbuhan ekonomi domestik dilihat lebih kukuh dan pengumuman projek MRT3 bersama-sama dengan penerusan projek infrastruktur awam besar yang lain, adalah positif untuk sektor pembinaan kerana akan ada keperluan untuk perkhidmatan kejuruteraan awam serta produk bitumen.

 

“Kami akan terus berhati-hati memandangkan prospek ekonomi global yang mencabar selain memperbaiki struktur korporat selain mempelbagaikan perniagaan untuk meningkatkan prestasi kewangan bagi memastikan pendapatan berulang kumpulan lebih stabil.

 

"Kerugian kami yang lebih kecil untuk suku ini adalah hasil daripada langkah-langkah ini," katanya. - DagangNews.com