Kes COVID-19 tinggi jejas pemulihan perbelanjaan pengguna - MIDF | DagangNews Skip to main content

Kes COVID-19 tinggi jejas pemulihan perbelanjaan pengguna - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Angka jangkitan COVID-19 yang masih meningkat sehingga mencecah empat digit terus memperlahankan pemulihan perbelanjaan penggunaan. 

 

Ini terbukti apabila nilai jualan perdagangan borong dan runcit November 2020 menyusut 1.2% daripada tempoh yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. 

 

Pada tempoh berkenaan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diperkenalkan buat kali kedua telah menyekat perbelanjaan pengguna. 

 

MIDF Research menjangkakan, proses pemulihan dalam perbelanjaan dijangka terus terjejas sekurang-kurangnnya sehingga 21 Januari dengan PKP 2.0 dilaksanakan selama dua minggu bermula esok. 

 

“Memasuki suku keempat 2020 (4Q20), prestasi borong dan runcit dijangka bertambah baik secara beransur daripada apa yang dicatatkan pada 3Q20. Namun, pemulihan dilihat dipengaruhi oleh peningkatan kes COVID-19 harian dalam negara yang mendorong tiga buah negeri dikenakan PKPB. 

 

“Walaupun kami melihat PKPB ini lebih longgar, namun ia tetap menjejaskan sentimen pengguna. Rakyat akan mengelak daripada tempat sesak untuk menjaga kesihatan terutamanya apabila kes jangkitan mencanak, melebihi daripada yang dicatatkan pada gelombang pertama. 

 

“PKPB telah memperlahankan aktiviti perbelanjaan domestik sehingga sempadan antara bangsa masih ditutup,” jelas firma penyelidik itu.

 

Hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan statistik prestasi perdagangan borong dan runcit bagi November 2020 yang merudum 1.2% kepada RM110.4  bilion.

 

Ini disebabkan oleh Perdagangan Runcit yang menguncup sebanyak 2.3% (-RM1.1 bilion).

 

Tambah MIDF, pihaknya mengunjurkan sektor perkhidmatan dan penggunaan swasta masing-masing akan menurun sebanyak -3.4% dan -4.5% bagi tahun 2020. 

 

“Sementara itu, kami menjangkakan kedua-dua sektor perkhidmatan dan penggunaan swasta akan melonjak semula pada 2021, masing-masing kepada +7.3% dan +6.7% berbanding tahun sebelumnya. 

 

“Ini tertakluk kepada beberapa risiko penurunan terutamanya PKP 2.0 yang dijangka ‘mengheret’ Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 0.8%,” ujar MIDF. - DagangNews.com