KUALA LUMPUR 13 Sept - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) merujuk kepada beberapa artikel media yang diterbitkan baru-baru ini yang mengulas tentang keputusan Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) berhubung keputusan MyCC berkenaan kes tersebut.
Artikel-artikel tersebut tidak memberi gambaran keseluruhan keputusan TRP. Pada tahun 2017 dan sekali lagi pada 2020, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) telah menegaskan bahawa perjanjian antipersaingan tersebut dibuat berdasarkan arahan BNM.
Malah, ini adalah pembelaan yang telah dikemukakan oleh syarikat insurans kepada TRP, yang turut disokong oleh BNM.
MyCC ingin menegaskan bahawa TRP memutuskan bahawa MyCC, mengikut sifat dan fungsinya sebagai badan separa kehakiman, diberi kuasa untuk mentafsir sesuatu peruntukan undang-undang sama ada ia relevan atau sebaliknya.
Tafsiran undangundang oleh MyCC yang memberi kesan terhadap bidang kuasa pengawal selia yang lain tidak boleh menghalang MyCC daripada melaksanakan tugasnya.
Seterusnya, TRP memutuskan bahawa surat-surat yang dikeluarkan oleh BNM yang digunakan oleh PIAM dan syarikat-syarikat insurans tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu arahan.
Malah, TRP berpandangan bahawa surat-surat tersebut tidak menggunakan bahasa yang tepat untuk ditafsirkan sebagai suatu arahan seperti yang dinyatakan oleh BNM.
Seterusnya, TRP juga memutuskan bahawa BNM tidak menyatakan dengan jelas dalam surat-suratnya bahawa ia telah mengarahkan PIAM dan syarikat-syarikat insurans untuk memasuki perjanjian tersebut.
Selaras dengan hasil dapatan MyCC dalam keputusan akhirnya, TRP memutuskan bahawa surat tersebut hanya menggesa pihak-pihak tersebut untuk menyelesaikan pertikaian komersial, mempercepatkan rundingan dan mencapai persetujuan mengenai isu yang dibangkitkan.
Dalam mencapai keputusannya, TRP juga mengambil kira waktu pertama kali BNM menyatakan pendiriannya bahawa surat-surat tersebut merupakan suatu arahan. TRP berpendapat sekiranya BNM sememangnya mengeluarkan arahan pada tahun 2011, ia akan menyatakan demikian pada tahun 2015 apabila penyiasatan oleh MyCC dimulakan atau pada seawal mungkin selepas penyiasatan telah dimulakan.
Sebaliknya, BNM hanya menyatakan bahawa surat-surat tersebut merupakan suatu arahan lebih kurang sebulan sebelum MyCC mengeluarkan keputusan cadangannya pada tahun 2017. Atas dasar ini, TRP menolak rayuan BNM.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, MyCC kini sedang menilai aspek-aspek lain berkenaan keputusan TRP dan mempertimbangkan pilihannya termasuk memfailkan semakan kehakiman.
"Ini kerana keputusan TRP mungkin menyebabkan kekeliruan mengenai tafsiran berhubung dengan perjanjian antipersaingan yang dibuat melalui persatuan.
"Pada masa yang sama, MyCC akan terus berusaha untuk melaksanakan mandatnya dengan cekap dan efektif berteraskan komitmen untuk memastikan budaya persaingan kekal kondusif dan pasaran berfungsi dengan baik demi kepentingan pengguna, perniagaan dan ekonomi”, katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com