Kes positif COVID-19 dunia hampir cecah 33.5 juta | DagangNews Skip to main content

Kes positif COVID-19 dunia hampir cecah 33.5 juta

COVID-19

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Jumlah kumulatif positif COVID-19 di seluruh dunia terus mencatatkan peningkatan.

Menurut data terbaharu dari Johns Hopkins University, jumlah kes positif wabak berkenaan kini hampir mencecah 33.5 juta.

"Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling terjejas dengan jumlah jangkitan sebanyak 7.18 juta kes.

"Kedudukan tersebut diikuti dengan India (6.15 juta kes) dan Brazil (4.75 juta kes), sementara Rusia telah melepasi angka 1.16 juta kes.

Turut mencatat peningkatan melepasi setengah juta kes iaitu Columbia, Peru, Sepanyol, Mexico, Argentina, Afrika Selatan dan Perancis.

Namun negara-negara yang berada dalam lingkungan 300,000 hingga 500,000 kes pula ialah Chile, Iran, United Kingdom, Bangladesh, Iraq, Arab Saudi, Turki, Itali, Pakistan dan Filipina.

Dalam pada itu, data yang sama turut merekodkan jumlah kumulatif kematian di peringkat global mencecah lebih satu juta.

Jumlah kematian tertinggi juga dicatatkan oleh AS dengan 205,774 kematian.

Jumlah tersebut diikuti dengan Brazil dengan 142,058 kes dan India dengan jumlah 96,318 kes.

Mexico dan United Kingdom (UK) masing-masing mencatatkan 76,603 dan 42,161 kematian, sementara Itali, Peru, Perancis dan Sepanyol pula mencatatkan jumlah korban melebihi 30,000. - DagangNews.com