Kes sporadik Malaysia terus meningkat kepada 398,846 | DagangNews Skip to main content

Kes sporadik Malaysia terus meningkat kepada 398,846

Kes sporadik COVID-19. Kredit gambar Malay Mail

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kes sporadik dan kes tidak bergejala COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan peningkatan khususnya di Lembah Klang.

 

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 398,846 kes daripada  578,105 keseluruhan kes COVID-19 adalah kes sporadik.

 

"Dari 1 Januari 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-53/2020] hingga 19 Jun 2021 (ME ke-24/2021), Malaysia telah merekodkan sebanyak 578,105 kes COVID-19.

 

"Daripada jumlah tersebut sebanyak 398,846 kes (69.0%) adalah kes sporadik," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

Kes sporadik merupakan kes yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada. 

 

Kes berkenaan dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti atau dari saringan kes bergejala. 

 


Graf di bawah menunjukkan taburan kes sporadik dan kluster di Malaysia;

.

 

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, daripada keseluruhan kes berkenaan, Selangor menjadi negeri yang mencatatkan kes sporadik tertinggi iaitu sebanyak 151,725 kes atau 38.0%.

 

Sementara itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing merekodkan sebanyak 44,517 kes (11.2%) dan 40,889 kes (10.3%).

 

"Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik tersebut tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan SOP dengan betul," tambahnya. - DagangNews.com