Keseluruhan mangsa banjir di Bera sudah terima BWI - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Keseluruhan mangsa banjir di Bera sudah terima BWI - Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada ketua isi rumah yang terlibat dengan bencana banjir di Parlimen Bera, hari ini.  

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 478 ketua isi rumah yang menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 hari ini adalah kumpulan yang terakhir di Bera menjadikan 100% penerima.

 

Beliau berkata, bagi seluruh negara sehingga malam semalam, sebanyak 94.3% mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) telah menerima BWI manakala 93.8% penerima yang tidak berpindah ke PPS.

 

Perdana Menteri berkata, sebelum ini beliau menyerahkan BWI di beberapa PPS lain termasuk di Pang, Johor, Melaka dan Sabah selain terdapat juga pegawai dari pihaknya menyerahkan sumbangan berkenaan di beberapa PPS di Selangor.

 

"Keseluruhan mangsa banjir di Parlimen Bera sudah selesai menerima BWI hari ini dan tidak ada yang disisihkan daripada menerima bantuan ini.

 

"Prinsip kerajaan hari ini ialah mempermudahkan, bukan menyulitkan.. mempercepatkan bukan melewatkan. Semoga pemberian sumbangan dapat meringankan bebanan mangsa banjir," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, bagi mangsa banjir di seluruh negara, terdapat tiga kaedh pembayaran BWI iaitu pemberian secara terus dengan menghantar ke rumah, berkumpul di pusat orang ramai, dewan dan sebagainya atau dikreditkan terus ke akaun penerima. 

 

pm

 

Beliau berkata, urusan pembayaran akan dilaksanakan oleh pejabat daerah masing-masing dan jika berlaku keciciran, diminta individu terlibat untuk merujuk ke pejabat daerah dengan segera.

 

pm

 

Perdana Menteri berkata, empat lagi inisiatif bantuan banjir akan diterima oleh golongan tersebut bermula esok, 10 Januari.

 

Empat inisatif itu merupakan bayaran tunai RM2,500 barangan keperluan rumah, baucer RM500 membeli barangan elektrik, rebat RM1,000 membaiki pulih kenderaan, serta bantuan baik pulih  rumah di bawah RM5,000. - DagangNews.com