KESM Industries kembali catat untung bersih RM916,000 pada 1QFY24 | DagangNews Skip to main content

KESM Industries kembali catat untung bersih RM916,000 pada 1QFY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Nov - KESM Industries Berhad telah kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM916,000 pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 (1QFY24) berbanding kerugian bersih RM1.54 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Ini menjadikannya keuntungan bersih bagi suku kedua berturut-turut selepas penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik mencatat kerugian bersih enam suku berturut-turut sebelumnya.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan meningkat 20% kepada RM63.5 juta pada 1QFY24 daripada RM52.8 juta tahun lalu dengan pendapatan sesaham 2.13 sen berbanding kerugian sesaham 3.58 sen.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, KESM berkata pendapatannya didorong oleh jualan burn-in dan ujian lebih tinggi, dijana daripada perbelanjaan modal yang baharu dilaburkan.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia memantau dengan teliti perkembangan ketegangan perdagangan China dan Amerika Syarikat yang menjejaskan rantaian bekalan.

 

“Di tengah-tengah tekanan inflasi yang menyebabkan kos buruh dan tenaga lebih tinggi, kumpulan menumpukan usahanya untuk meningkatkan pengeluaran dengan penguji awal untuk pelanggan automotif kami,” katanya.

 

Saham KESM ditutup kekal pada RM7 dengan permodalan pasaran bernilai RM301 juta.  - DagangNews.com