Ketepatan ujian COVID-19 dipersoal, penganalisis beri amaran jangkitan berisiko menular di Langkawi | DagangNews Skip to main content

Ketepatan ujian COVID-19 dipersoal, penganalisis beri amaran jangkitan berisiko menular di Langkawi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Walaupun kerajaan mewajibkan aktiviti kemasukan ke Langkawi perlu melalui saringan COVID-19, namun penganalisis memberi amaran masih terdapat risiko jangkitan itu akan menular yang berpunca daripada pelancong. 

 

Ini ekoran pelancong yang menjalani ujian COVID-19 kendiri melalui air liur di mana tahap ketepatan hanya sehingga 94% dibenarkan masuk, menurut penganalisis di CGS-CIMB Research, Raymond Yap. 

 

Katanya, ini berbeza dengan program pelancongan Phuket Sandbox di mana kedua-dua pelancong luar negara dan domestik perlu divaksin selain menjalani saringan RT-PCR yang mempunyai ketepatan hampir 100%. 

 

“...Ini berpotensi menyebabkan penularan dan kluster di pulau itu, dan beberapa pelancong yang baru dijangkiti mungkin ‘membawa balik’ virus itu ke negeri masing-masing. 

 

“Risiko ini lebih tinggi bagi program gelembung perjalanan Langkawi berbanding program Phuket Sandbox, kerana tahap pematuhan saringan COVID-19 yang lebih rendah untuk kemasukan ke Langkawi. 

 

“Susulan itu, gelembung perjalanan Langkawi mungkin terhenti seketika pada masa hadapan sekiranya penularan jangkitan berlaku.

 

“Sudah tentu, pembukaan semula perjalanan domestik itu tidak semestinya berjalan lancar, kami menjangkakan mungkin bermula dan berhenti sepanjang program tersebut dilaksanakan,” kata Yap dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ujian pengesanan COVID-19 sama ada RT-PCR atau RTK-Antigen, perlu dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas ke Langkawi.

 

Keputusan ujian itu perlu dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk, sama ada lapangan terbang atau terminal feri sebelum berlepas.

 

Baca : Impak positif pembukaan semula Langkawi ke atas sektor penerbangan dikhuatiri suram - Penganalisis

 

Yap menerusi satu nota penyelidikan yang ditulisnya baru-baru ini menjangkakan pembukaan semula Langkawi akan memberi impak positif buat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). 

 

Syarikat penerbangan, AirAsia Group Berhad sebaliknya dijangka berdepan persaingan sengit, kadar tambang murah, faktor muatan yang tidak sekata bagi penerbangan masuk dan keluar Langkawi serta penumpangnya mungkin menggunakan kredit mereka daripada pembatalan penerbangan sebelum ini.

 

Firma itu menyarankan untuk ‘kurangkan’ saham AirAsia dan penarafan ‘tambah’ diberikan kepada MAHB. - DagangNews.com