Ketepikan kepentingan politik, cari jalan keluar dari kemelut ekonomi & kesihatan - DPMM | DagangNews Skip to main content

Ketepikan kepentingan politik, cari jalan keluar dari kemelut ekonomi & kesihatan - DPMM

Abdul Halim Husin

Abdul Halim Husin

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Pemimpin parti politik digesa untuk mengetepikan kepentingan politik dan memberi fokus kepada titah Yang di-Pertuan Agong untuk mencari jalan keluar daripada kemelut ekonomi dan kesihatan dengan segera.

 

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu), Abdul Halim Husin berkata, menilai kepada situasi semasa negara, pihaknya turut mengambil inisiatif menghimpunkan hampir 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam untuk mencari penyelesaian.

 

Hasil inisiatif tersebut menyaksikan kesemua NGO yang terlibat bersepakat dalam isu membabitkan kesihatan, kesejahteraan dan perpaduan nasional.

 

"Kami berharap ahli politik juga dapat mengambil iktibar daripada usaha suara ketiga ini dan mengetepikan sementara kepentingan politik.

 

"Junjung titah Yang di-Pertuan Agong agar berusaha mencari jalan keluar kepada kemelut ekonomi dan kesihatan secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan seperti dilapor Berita Harian.

 

Dewan Melayu menyambut baik pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri bagi portfolio Hal Ehwal Jalinan Komuniti, Komunikasi Masyarakat & Pembangunan Sosio-Ekonomi.

 

Jelas beliau, pelantikan tersebut adalah satu tanggungjawab cukup besar tatkala rakyat masih bergelut dengan krisis ekonomi dan kesihatan dan negara masih 'ribut' dengan cerita politik yang tidak kunjung reda.

 

Beliau turut berharap pelantikan Ahmad Faizal mampu memberi kelegaan dan menjadi jambatan kepada hubungan NGO dengan barisan kepimpinan kerajaan yang lebih proaktif.

 

Dalam kenyataan sama, beliau memberitahu, pihaknya sentiasa menuntut kerjasama sihat di antara kedua-dua belah pihak bagi memastikan program dan dasar dilaksanakan kerajaan dapat terus dinikmati rakyat.

 

Katanya, pelbagai kesan buruk dialami rakyat sejak pandemik tersebut melanda negara dua tahun lalu.

 

Dalam pada itu, banyak laporan yang diterima mengenai bantuan yang lambat atau tidak sampai.

 

"Begitu juga nasib jutaan penjaja Melayu yang terumbang-ambing dan terputus makanan, atau pemain industri dalam sektor utama seperti percetakan, perkhidmatan professional, hartanah dan banyak lagi yang bergantung kepada intervensi daripada kerajaan.

 

"Dewan Melayu sentiasa cakna akan rintihan serta masalah yang dihadapi di luar sana, namun berhadapan tugas sukar untuk membantu sekiranya tidak mendapat tindak balas baik daripada kerajaan," jelas beliau lagi. - DagangNews.com