Ketidaktentuan di China, boleh jejaskan lagi pertumbuhan sektor pembuatan | DagangNews Skip to main content

Ketidaktentuan di China, boleh jejaskan lagi pertumbuhan sektor pembuatan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Mei - Firma penyelidikan masih berhati-hati terhadap prospek sektor pembuatan dalam tempoh terdekat berikutan gangguan bekalan yang masih berterusan. 

 

Menurut Public Investment Bank Research, situasi tersebut mungkin menjejaskan pengeluaran terutama bagi bahagian yang penting seperti cip yang banyak digunakan dalam hampir kesemua produk pembuatan daripada kenderaan hinggalah elektronik dan elektronik (E&E).

 

Katanya, ia semakin diburukkan dengan masalah kekurangan tenaga buruh yang mengambil masa untuk kembali pulih, pertumbuhan perlahan dan dasar sifar COVID-19 di China yang boleh menjejaskan lagi rantaian gangguan bekalan global.

 

"Pada masa sama, tekanan inflasi global juga membimbangkan kerana ia boleh melembapkan permintaan manakala konflik Rusia-Ukraine mampu menjejaskan keadaan memandangkan terdapat kemungkinan tekanan terhadap inflasi global.

 

"Bagaimanapun, prospek akan disokong oleh langkah rantau ini untuk beralih ke peringkat endemik menjelang separuh kedua 2022 ataupun lebih awal," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan meningkat kepada paras tertinggi 4 bulan iaitu 51.6 pada April 2022 berbanding 49.6 pada Mac 2022.

 

Peningkatan itu menyaksikan aktiviti pembuatan kembali berkembang pada permulaan suku kedua 2022, terutamanya disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi.

 

Public Investment berkata, pemulihan dalam sektor pembuatan akan dibantu oleh pengendalian yang lebih baik daripada pihak berkuasa terhadap situasi COVID-19 dan pelaksanaan sekatan pergerakan Secara bersasar bagi membendung penularan pandemik.

 

"Pembukaan semula ekonomi di kebanyakan negara serantau terutamanya negara maju dan negara-negara Kesatuan Eropah akan meningkatkan permintaan bagi produk pembuatan.

 

"Peralihan global yang pantas kepada rangkaian 5G bagi sektor telekomunikasi, juga menjadi antara pemacu utama kepada sektor ini," jelasnya.

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, aktiviti pembuatan dijangka kekal dalam laluan pemulihan terutama disokong pembukaan semula sempadan dan juga permintaan terpendam.

 

Namun begitu, katanya, unjuran pertumbuhan masih bergantung kepada beberapa risiko penurunan terutamanya gangguan rantaian global yang disebabkan dasar sifar COVID-19 dan krisis Rusia-Ukraine.

 

"Bagaimanapun, kesan buruk dijangka terhad memandangkan kepelbagaian eksport Malaysia dan permintaan kukuh daripada rakan dagangan utama. 

 

"Ini membolehkan kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama sekitar 5.7%, menjadikan pertumbuhan keseluruhan tahun ini antara 5 hingga 5.5%," katanya. - DagangNews.com