Keuntungan sebelum cukai BDB menyusut 5.54% kepada RM8 juta akibat COVID-19, PKP | DagangNews Skip to main content

Keuntungan sebelum cukai BDB menyusut 5.54% kepada RM8 juta akibat COVID-19, PKP

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - Keuntungan sebelum cukai Bina Darulaman Berhad (BDB) yang berakhir 31 Disember 2021 (FY2021) menurun sebanyak 5.54% kepada RM8 juta berbanding RM8.53 juta pada FY2020 kerana persekitaran operasi yang mencabar akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

BDB dalam satu kenyataan berkata, pendapatan kumpulan itu juga menyusut sebanyak 4.08% kepada RM210.62 juta berbanding RM219.56 juta pada FY2020 akibat langkah-langkah keselamatan ketat yang diperkenalkan menerusi Pelan Pemulihan Negara pada 2021.

 

Bahagian Hartanah BDB mencatatkan pendapatan lebih rendah iaitu RM100.2 juta berbanding RM102.7 juta pada tahun lalu akibat penjualan yang rendah bagi unit yang telah siap berbanding 2020 tetapi merekodkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi iaitu RM6.9 juta untuk FY2021 berbanding RM2.6 juta pada FY2020.

 

Bahagian Kejuruteraan, Pembinaan dan Kuari (ECQ) BDB meraih pendapatan lebih rendah iaitu RM109.2 juta berbanding RM115 juta pada FY2020 selain keuntungan sebelum cukai juga mencatatkan penurunan iaitu RM4.3 juta berbanding RM11.4 juta berbanding sebelum ini akibat peningkatan kos operasi serta pengurusan.

 

"Penurunan pendapatan serta keuntungan sebelum cukai ECQ adalah disebabkan langkah kawalan keselamatan PPN yang memberi kesan kepada aktiviti pembinaan pada 2021 terutama di Kedah.

 

"Kedah mengalami PKP paling lama berbanding negeri lain dan perkara itu memberi kesan kepada aktiviti perniagaan kumpulan selain negeri itu merupakan negeri terakhir memasuki Fasa 4 PPN yang membolehkan semua aktiviti perniagaan kembali dibuka," katanya.

 

BDB
Mohd. Iskandar Dzulkarnain Ramli

 

Ketua Pegawai Korporat BDB, Mohd. Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, keuntungan yang dicatatkan kumpulan itu pada FY2021 adalah disebabkan perniagaan teras mereka mempunyai asas yang kukuh selain berjaya beroperasi dengan cekap dan menstruktur semula kewangan mereka. 

 

"Memasuki 2022 dengan beberapa projek di dalam tangan, kami akan terus mengambil pendekatan terbaik untuk mengembangkan perniagaan teras BDB, menambah baik kedudukan kewangan, menerima transformasi digital dan menjana aliran pendapatan baharu.

 

"Pendekatan itu akan memastikan kumpulan ini bergerak selari dengan struktur operasi, meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan penggunaan modal bagi memaksimakan peluang pada 2022," katanya. - DagangNews.com