Kewangan Mah Sing stabil beli tanah baharu | DagangNews Skip to main content

Kewangan Mah Sing stabil beli tanah baharu

Mah Sing

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) dilihat tidak berdepan dengan masalah kewangan dalam urusan pembelian tanah baharu di Sepang.

 

MIDF Research berkata, perkara itu dinilai kerana pemaju hartanah tersebut mempunyai simpanan tunai berjumlah RM1.1 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2020.

 

"Kesan kepada kunci kira-kira dijangka minimum kerana Mah Sing mempunyai simpanan tunai RM1.1 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2020.

 

"Sementara itu, kami menganggarkan impak pendapatan juga minimum pada tahun kewangan 2021 kerana projek ini hanya akan dilancarkan pada separuh kedua tahun kewangan 2021 dengan tempoh pembangunna lebih dari 5 tahun.

 

"Oleh itu, kami tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan Mah Sing bagi tahun kewangan 2020/2021," jelas MIDF Research.

 

Mah Sing menerusi anak syarikatnya, Oasis Garden Development Sdn. Bhd. telah mengambil alih kira-kira 100 ekar tanah di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dengan nilai keseluruhan RM95.83 juta.

 

Pengambilan tanah tersebut seiring dengan strategi Mah Sing untuk membina rumah mampu milik di Lembang Klang dengan anggaran nilai pembangunan kadar (GDV) sekitar RM656 juta.

 

Baca: Mah Sing beli tanah di Bandar Baru Salak Tinggi pada nilai RM95.83 juta

 

MIDF Research turut mengekalkan saranan 'beli' saham Mah Sing.

 

Saranan tersebut dikekalkan setelah menilai kepada prospek pendapatan yang positif pada tahun kewangan 2021 susulan sumbangan daripada pendapatan pembuatan sarung tangan dan pemulihan segmen hartanah.

 

Sasaran harga sesaham (TP) Mah Sing dinilai sebanyak RM1.07. - DagangNews.com