Khazanah, CGC Digital umum pelaburan strategik dalam Funding Societies perluas akses pembiayaan PMKS | DagangNews Skip to main content

Khazanah, CGC Digital umum pelaburan strategik dalam Funding Societies perluas akses pembiayaan PMKS

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Khazanah Nasional Bhd dan CGC Digital Sdn Bhd mengumumkan pelaburan ke dalam platform kewangan digital perusahaan kecil dan sederhana bersepadu terbesar di Asia Tenggara, Funding Societies | Modalku, untuk meluaskan akses bagi perniagaan yang tidak dan kurang mendapat perkhidmatan pembiayaan.

 

Pelaburan itu menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan prestasi perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) melalui akses yang lebih baik kepada pembiayaan, mencipta peluang dan membantu pertumbuhan sosioekonomi bagi komuniti luar bandar dan separa bandar, serta komuniti dengan akses terhad kepada perkhidmatan kewangan.

 

Bagi mencipta impak yang besar dalam ekosistem PMKS di Malaysia, pelaburan Khazanah dalam Funding Societies dilaksanakan bersama CGC Digital, yang mana CGC Digital menyasarkan untuk meningkatkan keterangkuman kewangan melalui pembangunan produk jaminan digital inovatif serta model penilaian kredit jaminannya sendiri yang mampu menutup jurang dan mengatasi masalah utama dalam pembiayaan perniagaan mikro dan kecil. 

 

Inisiatif itu juga bertujuan untuk mewujudkan peluang sama rata bagi PMKS, terutamanya PMKS dengan sejarah kredit yang singkat. 

 

Bagi mengukuhkan kerjasama ini, Funding Societies akan terus bekerjasama dengan CGC Digital untuk menyediakan produk jaminan digital di platformnya, yang akan terus membantu perniagaan mikro dan kecil di Malaysia untuk mendapatkan pembiayaan bagi jangka panjang. 

 

Pendekatan mendahulukan digital melalui produk jaminan digitalnya yang menggunakan data alternatif akan membolehkan perniagaan mikro dan kecil untuk mengakses pembiayaan yang lebih luas dengan kos yang berpatutan.

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pelaburan dalam Funding Societies mencerminkan komitmen pihaknya untuk menggalakkan keterangkuman kewangan dan mengecilkan jurang pembiayaan, terutamanya dalam komuniti PMKS. 

 

 

khazanah
Datuk Amirul Feisal Wan Zahir

 

 

Katanya, sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia dan menyumbang kepada hampir separuh pekerjaan dalam negara, peranan PMKS adalah penting. 

 

"Namun pada masa yang sama, PMKS berdepan cabaran mendapatkan perkhidmatan pembiayaan. Oleh itu, pelaburan ini selari dengan misi kami untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan pertumbuhan sosioekonomi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Tambah Feisal, dengan menyokong platform inovatif seperti Funding Societies bersama CGC Digital, Khazanah berhasrat untuk memberdayakan komuniti PMKS, membuka peluang baharu untuk mendorong kemajuan negara selaras dengan visi Ekonomi MADANI untuk meningkatkan manfaat sosioekonomi untuk semua.

 

Penilaian impak Khazanah didorong peranan platform kewangan digital seperti Funding Societies, yang mendahului dalam penyampaian pembiayaan digital yang menyeluruh kepada PMKS yang mendapat perkhidmatan terhad di Asia Tenggara. 

 

Ia membolehkan akses PMKS yang lebih baik kepada modal dan mempromosikan keterangkuman kewangan di serantau.

 

Khusus untuk pasaran Malaysia, dengan pelaburan Dana Impak, Funding Societies berhasrat untuk menyalurkan lebih daripada 50% pinjaman tahunan melalui pembiayaan patuh syariah menjelang 2025, selaras dengan aspirasi untuk menyokong pertumbuhan PMKS Bumiputera. - DagangNews.com