Khidmat pengamal perubatan swasta masih dibuka - KKM | DagangNews Skip to main content

Khidmat pengamal perubatan swasta masih dibuka - KKM

Saringan COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Kerajaan masih membuka penyertaan pengamal perubatan swasta untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam urusan berkaitan COVID-19.

 

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memperluas saringan COVID-19 dan mempercepatkan pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

 

"Kerajaan masih membuka penyertaan pengamal perubatan swasta khususnya untuk berkhidmat di Pusat Saringan COVID-19 dan Pusat Pemberian Vaksin mengikut lokaliti berhampiran di seluruh negara.

 

"Pendaftaran masih dibuka dan boleh dilayari menerusi Portal KKM: http://www.moh.gov.my - Iklan Pembelian Perkhidmatan Doktor Pakar Swasta dan Doktor Swasta Secara Kontrak (Contract For Service) Dalam Tempoh Penularan Wabak COVID-19," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

.
Adham Baba.

 

Terdahulu, pengamal perubatan swasta turut menyumbang perkhidmatan sebagai sukarelawan di fasiliti kesihatan.

 

Susulan itu, kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada Mac 2020 bersetuju untuk menawarkan bayaran perkhidmatan kepada golongan berkenaan.

 

Keputusan itu dibuat sebagai satu penghargaan bagi sumbangan yang diberikan.

 

Tambah Adham lagi, penyertaan itu juga selaras dengan pendekatan whole of government, whole of society yang diharapkan akan mempercepatkan lagi usaha kerajaan untuk memastikan pencapaian status herd immunity.

 

Usaha itu sekali gus berjaya melandaikan keluk penularan pandemik COVID-19 di negara ini. - DagangNews.com