Khor Xin Yun dilantik Ketua Pegawai Eksekutif NKF Malaysia bantu program transformasi digital | DagangNews Skip to main content

Khor Xin Yun dilantik Ketua Pegawai Eksekutif NKF Malaysia bantu program transformasi digital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF Malaysia) melantik Khor Xin Yun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu sebagi usaha untuk melaksanakan program transformasi terhadap organisasi itu.

 

Beliau yang memiliki pengalaman lebih sedekad dalam pelbagai sektor dalam bidang penjagaan kesihatan memiliki rekod cemerlang dalam menerajui transformasi digital menerusi jawatan yang disandangnya sebelum ini.

 

Sejak menyertai keluarga NKF Malaysia pada Januari 2022, beliau yang berusia 35 tahun yang bekerja sebagai ahli farmasi berdaftar bersedia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman untuk membantu organisasi itu beroperasi dengan lebih efisyen.

 

Pengerusi NKF Malaysia, Datuk Dr. Zaki Morad Mohamad Zaher berkata, pihaknya berbangga kerana Xin Yun dapat bersama untuk membantu membangunkan organisasi itu berdasarkan kepadanya pengalaman yang dimiliki.

 

Beliau berkata, pelantikan itu adalah sejajar dengan perancangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mewujudkan kesedaran dan mempromosikan pencegahan penyakit tidak berjangkit dalam usaha memperbaiki kualiti hidup rakyat Malaysia.

 

"Saya yakin beliau adalah calon terbaik untuk organisasi ini dan kami berharap pengalaman serta kemahiran yang dimiliki dapat membantu kami.

 

"Dengan kehadiran beliau, NKF Malaysia kini bersedia untuk memacu inovasi serta pendigitalan yang lebih maju dalam penjagaan buah pinggang sambil memajukan visi dan misi kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Sebelum bersama NKF Malaysia, Xin Yun berkhidmat sebagai ketua kesihatan digital untuk Better Health Programme (BHP) Malaysia yang dibiayai oleh Dana Kemakmuran Pejabat Pembangunan Komanwel dan Luar United Kingdom pada 2020.

 

Ia adalah sebahagian daripada program global selama tiga tahun yang menyasarkan untuk memberi kesedaran terhadap penyakit tidak berjangkit seperti jantung, diabetes dan obesiti.

 

Beliau berjaya mengetuai pembangunan dan pelaksanaan program itu menggunakan platform kesihatan digital yang menyasarkan untuk memperbaiki kesedaran terhadap cara hidup yang lebih sihat dalam kalangan komuniti di Malaysia. - DagangNews.com