Kilang coklat industri Guan Chong di UK mula beroperasi | DagangNews Skip to main content

Kilang coklat industri Guan Chong di UK mula beroperasi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis - Guan Chong Berhad telah memulakan operasi kilang coklat industrinya di United Kingdom (UK), kedua di Eropah dan menyasarkan pasaran coklat bernilai £2.2 bilion (RM13 billion) di negara itu.

 

Syarikat pengisar koko dan penggiat coklat industri itu berkata ia melabur kira-kira £34 juta (RM 201 bilion) untuk menubuhkan kemudahan coklat industri berkapasiti 16,000 tan setahun tersebut bagi memanfaatkan permintaan coklat UK yang semakin meningkat.

 

“Kemudahan itu dipasang dengan jentera pengeluaran canggih dan direka khas dengan barisan pengeluaran untuk menghasilkan coklat gelap dan susu dengan standard keselamatan dan kualiti yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Guan Chong, Brandon Tay Hoe Lian berkata UK adalah antara negara pengguna coklat terbesar di Eropah, dengan purata penggunaan 8.1 kilogram per kapita.

 

“Dengan meletakkan diri kami di UK, kami berharap untuk menjadi pengeluar coklat yang hebat, sekali gus memanfaatkan permintaan kukuh untuk coklat.”

 

“Dengan pemasangan jentera semasa, kemudahan itu masih mempunyai ruang tambahan untuk meningkatkan kapasiti.

 

“Buat masa ini, kami akan memberi tumpuan kepada memperhalusi kemudahan dan menilai prospek kami untuk pertumbuhan masa depan,” ujar beliau.

 

Menurut Guan Chong, pelan pengembangan masa depan untuk kemudahan coklat industri UK juga akan merangkumi keupayaan nilai tambah dalam pencairan likuor koko, pencairan mentega koko dan pengisaran koko.

 

Di samping itu, Guan Chong berkata anak syarikatnya di Jerman, Schokinag, mempunyai kapasiti pengeluaran coklat industri tahunan sebanyak 100,000 tan setahun, menjadikan jumlah kapasiti pengeluaran kumpulan kepada 116,000 tan setahun.  - DagangNews.com