Kilang pembuatan, pembinaan, perlombongan dan kuari dibenar beroperasi 16 Ogos | DagangNews Skip to main content

Kilang pembuatan, pembinaan, perlombongan dan kuari dibenar beroperasi 16 Ogos

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

PUTRAJAYA 15 Ogos - Kerajaan bersetuju membenarkan semua aktiviti tidak perlu (non-essential) dalam sektor-sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian kembali beroperasi bermula 16 Ogos 2021 di negeri Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 PPN.

 

Namun kapasiti pengoperasian adalah bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja.

 

15


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan faham, keputusan ini akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai yang bimbang dengan risiko penularan.

 

''Sekali lagi dijelaskan bahawa setiap ketetapan dibuat dengan berhati-hati. Setelah lebih setahun negara berada dalam situasi pandemik, banyak majikan mula mengurangkan tenaga kerja sekaligus menyebabkan ramai hilang pekerjaan. Dalam situasi sukar ini, kerajaan tidak boleh membiarkan keadaan ini berlarutan.

 

''Kepada majikan, Kerajaan amat berharap kemudahan yang diumumkan hari ini dapat merancakkan semula perusahaan masing-masing. Saya ingin mengingatkan semua majikan supaya mematuhi dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan sebelum memulakan semula operasi bagi memastikan keselamatan pekerja dan tempat kerja terjamin.

 

''Pada masa yang sama, manfaatkanlah sepenuhnya inisiatif subsidi upah yang disediakan Kerajaan bagi memastikan setiap pekerja memperolehi bayaran gaji mereka,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

15ogos2021

 

 

Kepada para pekerja, laporkan segera kepada Kementerian Kesihatan Malaysia di cprc@moh.gov.my atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) di aduan.sop@moha@gov.my atau Kementerian Sumber Manusia melalui aplikasi Working For Workers (WFW) sekiranya majikan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

 

''Kuasa di tangan anda sebagai pekerja kerana majikan yang tidak mematuhi SOP dan melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangit 1988 (Akta 342) boleh dikompaun dan dihadapkan di mahkamah.

 

''Di bawah Akta ini juga, KKM mempunyai kuasa penuh untuk memberi notis perintah tutup premis. Saya difahamkan dari tempoh 26 Julai hingga 10 Ogos, lebih 900 premis telah diarahkan tutup kerana kegagalan mematuhi SOP. Ini adalah bukti Kerajaan amat tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan. Terima kasih kepada rakyat dan pekerja yang membuat aduan sekaligus memudahkan pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com