Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 10 Nov - Iconic Worldwide Berhad mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Iconic Medicare Sdn Bhd telah menyiapkan pembinaan fasiliti pengeluaran alat perlindungan diri (PPE) baharu bernilai RM200 juta yang menghasilkan sarung tangan dan pelitup muka perubatan di Batu Kawan.
Pengarah Urusan Iconic Worldwide Berhad Dato’ Tan Kean Tet berkata, untuk peringkat awal, Kumpulan sudah memulakan operasi empat barisan pengeluaran yang menghasilkan pembentuk sarung tangan berganda dan merancang untuk meningkatkannya kepada enam menjelang akhir tahun ini.
Ujarnya, menjelang suku pertama 2022, keseluruhan 12 barisan pengeluaran pembentuk sarung tangan berganda dan 20 barisan pengeluaran pelitup muka perubatan akan dipasang dan mula beroperasi.
“Kami menjangkakan permintaan ke atas PPE kekal mampan meskipun pasca pandemik COVID-19 berikutan norma baharu dan kesedaran awam terhadap keperluan perlindungan diri serta amalan kebersihan.
"Walaupun purata harga jualan sarung tangan menyusut, harga bahan mentah juga telah merosot sekitar 70%, jadi kami yakin mengekalkan angka pendapatan bersih.
"Tambahan pula, Kumpulan akan meneroka kemungkinan menghasilkan getah nitril butadiene (NBR) di Malaysia untuk memenuhi permintaan pasaran untuk bahan mentah ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
(Dari Kiri) Tan Cho Chuan; Jason Chung Wei Chiun; Dato' Tan Kean Tet;Tan Seok Ying;Tan Cho Chia dan Tan Seok Fang
Terletak di atas sebidang tanah berkeluasan kira-kira 5.5 ekar di Taman Perindustrian Batu Kawan, fasiliti tersebut sedang memasang dan memulakan operasi barisan pengeluaran sarung tangan dan pelitup muka perubatan pakai buang, yang dijangka menghasilkan kapasiti pengeluaran minimum sebanyak 3.3 bilion keping sarung tangan dan 220 juta keping pelitup muka perubatan setahun.
Tambah Tan, ketika ini negara seperti Korea, Jepun, Thailand dan China adalah pengeluar utama NBR, sedangkan Malaysia adalah pengimport dan pengguna terbesar di seluruh dunia dengan menggunakan 65% daripada bekalan NBR dunia.
"Dengan mengeluarkannya secara tempatan, pembuat sarung tangan akan dapat memastikan bekalan bahan mentah yang konsisten selain mengurangkan kos pengeluaran dan logistik," ujarnya. -DagangNews.Com