IPOH 6 Ogos - Syarikat pemaju hartanah, Kinta Properties Development Sdn. Bhd., (Kinta Properties) yakin kediaman di Bandar Baru Seri Klebang akan ditempah semasa promosi bagi meraikan bulan kemerdekaan.
Promosi yang berlangsung sehingga 30 September ini menawarkan rebat sehingga RM57,000 kepada pembeli yang layak.
Rebat Merdeka 2024 itu turut menawarkan potongan sebanyak RM31,000 dan RM8,000 bagi pembelian rumah tertentu di Bandar Baru Sri Klebang.
Pengurus Jualan Kinta Properties, Karen Wong berkata, rebat khas itu termasuk bagi pembelian rumah teres dua tingkat Rosewood 2 dan rumah berkembar dua tingkat Xyris.
“Setiap pembeli layak menyertai cabutan hadiah dengan syarat tempahan dibuat sebelum tarikh akhir kempen.
“Dokumen perjanjian jual beli pula hendaklah ditanda tangani dalam masa 30 hari selepas tempahan.
“Jadi, lebih cepat urusan pembelian diselesaikan, lebih tinggi peluang untuk memenangi rebat RM57,000 tersebut,” katanya.
Kediaman Rosewood 2 menampilkan 4 bilik tidur dan 3 bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur kering berkonsep terbuka.
Rumah pegangan bebas bersaiz 20’x70’ ini, menawarkan bilik tidur utama yang luas.
Selain itu, pembeli juga boleh membina sudut membaca, mengikut keperluan dan kreativiti masing-masing.
Ciri-ciri menarik lain ialah ruang dapur yang telah diperluaskan sepenuhnya sekali gus dapat menjimatkan wang dan masa tanpa perlu membuat pengubahsuaian tambahan.
Sementara itu jelas Karen, fasa 2 Xyris terletak di dalam kawasan berpengawal Grand Retreats menawarkan ciri baru iaitu panel solar siap pasang.
“Ciri hijau lain untuk rumah pegangan bebas bersaiz lot 40’x80’ dan 40’x90’ ini ialah dilengkapi pemanas solar dan sistem pengumpulan air hujan yang mampu mengurangkan bil utiliti.
“Menampilkan 4 bilik tidur dan 5 bilik air, kawasan ruang tamu, ruang makan dan dapur kering berkonsep terbuka, dapur basah berasingan dan juga ruang keluarga yang luas di tingkat atas,” ujarnya.
Lokasi strategik di tengah-tengah koridor pembangunan utara Ipoh kira-kira 12 kilometer dari pusat bandar, Bandar Baru Sri Klebang mudah diakses melalui Lebuhraya Utara-Selatan, Jalan Kuala Kangsar dan Jalan Tasek.
Rumah contoh di Bandar Baru Sri Klebang dibuka daripada pukul 10 pagi hingga 6 petang setiap hari termasuk cuti umum.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang projek hartanah itu boleh melayari laman web www.kintaproperties.com atau menghubungi talian 012-500 8018. - DagangNews.com